Wednesday, December 23, 2009

SEBENING KASIH 1...chapter 15

“Akulah si kerdil yang mencari jalan pulang”

Betapa tertekannya Ayu Putri mengahadapi kerenah pengarahnya. Sewaktu dia mengikuti kursus induksi untuk mengesahkan jawatannya, wanita yang menjadi ketuanya itu masih memberi arahan-arahan yang menekan pemikirannya dan mengganggu tumpuannya kepada kuliah yang disampaikan. Dia sendiri tidak mengerti kenapa ketuannya itu sering mencari silapnya.

Ayu Putri tertekan dengan dengan jadual kursus yang padat dan tuntutan tugasan di pejabat. Sesekali timbul rasa iri dengan peserta lain yang bebas menggunakan masa lapang mereka tetapi dia masih mengadap kerja-kerjanya. Dalam keadaan resah Ayu Putri masih sempat menyiapkan kerja-kerja yang diamanahkan. Lega hatinya apabila laporan cadangan telah diemail kepada pembantunya. Berdebar-debar hatinya, bimbnag penerimaan pengarahnya. Risau hasil kerjanya tidak memuaskan hati dan tidak memenuhi kehendak wanita tegas itu. Dia yakin, dia pasti dimarahi apabila dia masuk ke pejabat minggu depan.

***********

Panggilan daripada pembantunya petang itu sekali lagi seolah-olah memberhentikan degupan jantungnya. Pengarahnya menyuruh dia pulang ke Terengganu untuk mewakilkan dirinya menyampaikan taklimat kepada perunding untuk satu projek pembangunan. Macam mana dalam keadaan berkursus dia ingin pulang ke pejabat? Selangor dan Terengganu bukannya dekat.
“Cik Ayu, Puan Pengarah meminta Cik Ayu mewakilkan dirinya menyampaikan taklimat untuk publisiti Rancangan Kawasan Khas Tasik Kenyir.”
“Emm..saya masih dalam kursus. Minggu depan saya ada peperiksaan. Tak ada orang lain ke? Saya dah siapkan semua bahan yang diperlukan kan,” Ayu Putri menjawab pantas.
“Tak tahulah Cik Ayu. Dia cakap, dia nak Cik Ayu juga yang jadi pembentangnya. Betul-betul dia rasa ingin menangis. Tidak semena-mena air matanya mengalir. Dia menunduk, bimbang peserta-peserta lain dapat mengesan air matanya. Malu dia nanti.

***********

Selesai solat Subuh pagi itu, Ayu Putri mengenakan baju kurung sutera batik berwarna peach. Bibirnya dicalit sedikit gincu dan pipinya disapu pemerah pipi berwarna peach. Warna itu sesuai dengan warna kulitnya. Dia Nampak berseri pagi itu. Senyuman diukir di depan cermin. Segala kerisauannya dibuang jauh-jauh. Dia ingin memulakan harinya dengan ceria. Harapannya agar permulaan yang baik itu akan berkahir dengan baik juga. Namun, panggilan daripada pembantunya awal pagi itu sedikit sebanyak telah mengganggu tumpuan Ayu Putri. Hatinya kembali resah. Jiwanya memberontak.

Dia ingin bercerita dengan seseorang, tetapi siapa? Aiman Rifki, lelaki itu yang sering hadir dalam ingatannya. Namun, masih sudikan Aiman Rifki melayan keresahan hatinya? Masih sudikah Aiman Rifki menenangkannya seperti dulu-dulu? Hatinya dikunjungi rasa sayu. Air matanya bergenang. Bebanan yang ditanggung terasa cukup berat. Lantas telefon bimbitnya dicapai.

Ayu Putri tahu, Aiman Rifki tidak mungkin akan membalas mesejnya. Dia sudah sedia maklum tentang itu. Memang dia rasa malu mengharap seorang teman menenangkan keresahan hatinya, namun dia lakukannya juga kerana dia akan rasa tenang bercerita pada Aiman Rifki walau dia tahu Aiman Rifki tidak akan memberi tindak balas, jauh sekali mendengar ceritanya.

“Tuan Besar kte, walaupun kte tahu awak tak akan balas mesej-mesej kte, walau kte tahu mesej-mesej kte dipandang sepi, tapi kte tak kisah sebab awaklah punca ketenangan kte. Walau kte tak dapat balasan daripada awak tapi itu sudah cukup tenangkan kita. Awak tahukan, betapa kte sangat-sangat hargai awak. Walau awak tak lagi hargai kte dan menganggap kte penting dalam hidup awak seperti awak pernah ucapkan kepada kte dlu. Kte memerlukan awak sebagaimana bulan memerlukan matahari untuk terus bersinar. Terima kasih, Tuan Besar kte kerana hadir dalam hidup kte walau seketika. Kte sangat gembira dan bahagia walau akhirnya batin kte terseksa. Mencintai dan menyayangi awak adalah perkara terbaik dalam hidup kte.”

**************************

Sehari lagi kursus induksi akan tamat. Tak sabar rasanya dia ingin meninggalkan Wood Valley Village, Sungai Congkak itu. Semakin lama dia di situ semakin sakit jiwanya. Mesej dari Aiman Rifki dua malam lepas mengganggu fikirannya.
“Do you know what..Kte rasa kte dah terlalu letih untuk teruskan hidup ni..tapi kte tak bersedia untuk mati”
Apa sebenarnya yang berlaku pada Aiman Rifki? Dah beberapa kali nombor lelaki itu didail, namun tiada jawapan. Mesej telah banyak kali dihantar namun masih tiada balasan. Walaupun nombor itu telah dipadam dalam telefonnya, namun dia masih tidak mampu memadamnya dari ingatan. Terlalu teguh ingatannya pada apa sahaja yang berkaitan dengan Aiman Rifki walaupun dia lupa segala yang berlaku dalam hidupnya sejak Aiman Rifki tinggalnya. Apa yang ada dalam fikirannya cuma Aiman Rifki. Segala-galanya Aiman Rifki.

Tika insan lain lena diulit mimpi, Ayu Putri bangun dalam dingin malam. Pili dibuka. Air dari Sungai Congkak itu terlalu sejuk. Dinginnya hingga ke tulang sum sum. Menggelentar dia membasahkan lima anggota badannya. Kepalanya terasa pening. Terasa bagai ingin pitam. Cepat-cepat dia berpaut pada dinding bilik air. Dia gagahkan kaki melangkah. Ayu Putri jatuh terduduk dibirai katil. Air matanya menitis. Dia pohon pada Tuhan dalam hatinya moga diberi kekuatan untuk bangun tunaikan solat tahajud dan hajat. Dia ingin mengadu pada Tuhannya, betapa dia risaukan Aiman Rifki. Dia ingin memohon kepada Tuhan moga memberi ketenangan pada Aiman Rifki kerana dia percaya Tuhan mendengar doa dari hati yang ikhlas dan penuh kasih-sayang.

Seketika kemudian, peningnya beransur hilang. Telekung dicapai dan sejadah dibentang. Tegak dia berdiri mengadap kiblat. “Ya Allah, terimalah pengabdian hambaMu ini. Ku ingin mengadu keuzuranku. Terimalah ya Allah, keuzuran ini.” Khusyuk dia menunaikan solat sunat di hening malam itu. Air matanya berguguran. Terasa terlalu kerdil di hadapan Tuhannya.
“Ya Allah, Kau tahu hatiku. Kau tahu deritaku. Kau tahu pengorbananKu. Kau tahu aku terseksa, ya Allah. Bantulah aku. Aku tak mampu untuk membenci. Demi cintaMu aku korbankan segala cintaku moga suatu hari nanti Kau gantikan dengan cinta teragung. Moga air mata yang mengalir saban waktu ini adalah pemadam api neraka, ya Allah. Ya, Allah demi cintaku yang suci, berilah ketenangan dan kebahagian buat Aiman Rifkiku. Kau lebih tahu, Ya Allah. Dia jantungku, dia nyawaku. Dia semangatku, ya Allah. Jangan jadikan dia seorang yang putus asa. Khabarkan padanya bahawa kau sentiasa mendoakannya dalam tiap jaga dan tidurku. Tolonglah aku, ya Allah.”

Seawal pagi, sekali lagi Aiman Rifki dihubungi. Namun masih tiada jawapan. Dia rasa ingin menangis. Sampai hati Aiman Rifki buat dia risau begini. Kuliah yang disampaikan pagi itu sikit pun tidak masuk ke kepalanya. Bagaikan angin lalu. Hatinya masih risaukan Aiman Rifki. Akhirnya, Ayu Putri biarkan sahaja soal Aiman Rifki berlalu. Ini bukan kali pertama Aiman Rifki lakukannya begitu. Sudah banyak kali. Sungguh dia mula merasakan dirinya tidak dihargai. Mungkin pada Aiman Rifki, dia cuma persinggahan, tiada hati dan perasaan.

Sebaik sahaja dia bangun dari kerusinya untuk keluar dari dewan kuliah, tiba-tiba Encik Jamil, ahli kumpulannya yang sudah agak berumur memanggilnya. Dengan sopan Ayu Putri melangkah ke arah Encik Jamil. Lelaki dari Johor itu tersenyum.
“Ayu, saya nak tanya sikit ni. Harapnya Ayu tak keberatan bagi jawapan pada saya.” Encik Jamil memulakan bicara.
Wajah Encik Jamil dipandang. Tiba-tiba jantungnya berdebar kencang. “Silakan, Encik Jamil. InsyaAllah saya akan bagi jawapannya.” Ayu Putri tersenyum.
“Ayu belum berpunya kan. Saya nak kenalkan Ayu dengan adik ipar saya. Adik ipar saya baru balik dari Mesir. Sekarang dia jadi ustaz di Kuala Lumpur. Kalau Ayu tak keberatan, boleh bagi saya nombor telefon Ayu?”
Sebaik sahaja mendengar kata-kata dari Encik Jamil, kepalanya terasa berpusing. Air matanya bergenang. Dalam kepalanya hanya ada Aiman Rifki. Kenapa lelaki yang telah meninggalkannya dan memilih yang lain masih dia harapkan? Telah jelas Aiman Rifki tidak perlukan dia lagi.
“Encik Jamil, saya bukanlah seorang yang baik sangat. Banyak kurangnya. Mungkin saya bukanlah yang terbaik untuk adik Encik Jamil.” Ayu Putri membalas.
“Ayu, saya dah perhatikan Ayu sejak dari hari pertama kita kursus. Sekarang dah masuk dua belas hari. Saya tahu Ayu seorang perempuan yang baik dan mampu bahagiakan adik saya. Kita cuba, Ayu. Jangan hampakan saya.” Encik Jamil menambah.
Wajah Encik Jamil direnung. Kenapa bukan abang Aiman Rifki yang berkata begitu? Kenapa orang yang berjumpa dengan Ayu Putri hanya dua belas hari boleh menilai Ayu Putri sebegitu. Kenapa bukan Aiman Rifki yang mengenalinya bertahun-tahun membuangnya seolah-olah tidak punya perasaan.

Ayu Putri melemparkan senyuman hambar. “Nanti saya bagi nombor saya, Encik Jamil. Bagi saya masa untuk saya fikirkan.” Ayu Putri melangkah keluar dari dewan kuliah.

Sebaik sampai di bilik, dia menangis semahunya. Hatinya masih pada Aiman Rifki. Namun, wajarkah dia menanti seseorang yang sememangnya telah jelas membuangnya dan memilih yang lain tanpa memikirkan perasaanya? Seseorang yang telah menjadi milik orang? Sewajarnya telah lama Ayu Putri perlu sedar kenyataan itu. Sewajarnya dia patut sedar lelaki yang Encik Jamil ingin kenalkan adalah lelaki yang baik agamanya, yang mampu membimbing Ayu Putri menjadi wanita solehah. Sewajarnya dia tak perlu lagi mengharap pada Aiman Rifki dan tak perlu lagi mengharap keajaiban akan berlaku.

Esok, Ayu Putri akan menghadapi peperiksaan. Namun buku yang berada di atas katilnya tidak disentuh. Buku-buku itu hanya dipandang sepi. Teman sebiliknya telah lama pergi mengulangkaji. Ayu Putri masih terbaring lesu. Air matanya mengalir laju. Tadi, telah dia kirimkan kad namanya pada teman sebiliknya untuk diberi kepada Encik Jamil. Dia perlu membuat keputusan untuk masa depannya. Inilah keputusan paling besar yang dia lakukan.

Sebening kasih Ayu Putri untuk Aiman Rifki. Hanya Tuhan yang mengerti. Segunung kasih dan pengorbanan Ayu Putri pertaruhkan. Namun tetap dibalas dengan penyeksaan. Sabarnya Ayu Putri dengan kesucian cintanya pada Aiman Rifki, walau sehina itu Ayu Putri diperlakukan.

Namun, walau dicuba menerima adik Encik Jamil, ternyata cinta itu tidak mampu dipakasa. Semakin dipaksa, semakin dia tidak mampu melupakan Aiman Rifki. Lantas sekali lagi Ayu Putri membuat keputusan membiarkan lelaki sebaik Abdul Mubin pergi dari hidupnya.

No comments:

Post a Comment