Saturday, March 28, 2009

SEBENING KASIH..chapter 4

“Persahabatan ini selamanya bermakna”

Tangga di Perpustakaan Sultanah Zanariah, dituruni satu persatu. Sebelum keluar dari perpustakaan tadi, Ayu Putri bertembung dengan jejaka Sarawak kelasnya. Dari jauh jejaka itu mengukir senyuman. Senyuman jejaka itu dibalas, pantas kakinya melangkah ke arah jejaka tersebut.

“Alik, awak apa khabar? Lama ye awak ke Sarawak.” sapa Ayu Putri.
Alik tersenyum mesra. “Aku baik sahaja. Kamu bagaimana?” ucap Alik dalam lograt negerinya.
“Macam yang awak nampak. Emm..ada ole-ole untuk saya? Ika awak bagi, saya tak bagi pun. Pilih kasih, ye.” Ayu Putri menarik muka masam. Pura-pura merajuk. Dia memang suka mengusik Alik. Alik adalah antara pelajar lelaki kelasnya yang selalu bercakap dengannya selain Azam.

“Bukan..bukan begitu. Bukan aku tidak mahu bagi pada kamu. Ni aku dah simpankan untuk kamu. Aku cuma tidak mahu kawan-kawan kita fikir yang bukan-bukan tentang kita” balas Alik perlahan sambil menghulurkan keychain bertulis perkataan Sarawak kepada Ayu Putri.

Ayu Putri menerima pemberian itu dengan wajah gembira. Muka Alik dipandang. Ayu Putri mengajak Alik berbual-bual di ruang legar perpustakaan. Ada sesuatu ingin dia tanyakan pada Alik.

Sebaik sahaja melabuhkan punggung di kerusi kuning di ruang legar perpustakaan itu, Ayu Putri membuka mulut.
“Alik, kalau saya tanya sesuatu awak jangan marah ye,” Ayu Putri memulakan bicara. Wajah Alik dipandang tenang.

“Emm..tanyalah”, Alik menjawab perlahan.
“Emm..kenapa sejak akhir-akhir ini Alik macam tak nak berbual lagi dengan saya? Saya ada buat salah pada Alik ke?” Ayu Putri bertanyakan soalan yang selalu bermain di fikirannya. Dulunya mereka selalu berbual-bual di studio. Alik selalu bertanyanya tentang Islam. Cukup seronok dia bercerita tentang indahnya Islam pada jejaka yang berfahaman “free thinker” itu. Setiap lepas solat, dia berdoa agar Alik memilih Islam sebagai pegangannya. Namun sejak akhir-akhir ini, Alik seolah-oleh menjauhkan diri daripadanya.

Alik kelihatan gelisah. Matanya melilau ke kiri dan ke kanan. “Ayu, kamu tak buat salah apa-apa pada aku. Aku cuma rimas dengan kawan-kawan kita. Setiap kali ada orang nampak kita berbual-bual di studio, apabila aku pulang ke kolej, bilik aku akan dikerumuni. Semua orang berlari-lari ke bilik aku bertanya apa yang aku bualkan dengan kamu. Aku jadi rimas, Ayu.” Ucap Alik perlahan. Mukanya muram.

Ayu Putri tertunduk pilu. Terdetik di hatinya kenapa ada manusia yang tidak senang dengan keakraban mereka. Mereka tidak mengacau orang lain. Kesian Alik, dia cuma ingin tahu tentang Islam.

“Ayu, aku tidak mahu kawan-kawan kita menyalah ertikan keakraban kita. Aku tidak mahu menyusahkan kamu. Aku suka bercerita dengan kamu. Kamu seorang yang open-minded, aku bebas bercerita apa sahaja dengan kamu. Fikirku, orang seperti kamu akan pesimis kepada orang yang “free-thinker” seperti aku. Tapi aku silap. Kamu tidak merendahkan pendapat aku. Sebenarnya terlalu banyak aku ingin tahu tentang Islam tetapi aku tidak mampu, Ayu. Aku sangat menghargai kamu sebagai kawan aku. Terima kasih, Ayu.” Sedih suara Alik berkata-kata.

Ayu hampir menitiskan air mata. “Alik, abaikan apa orang cakap ye. Saya sentiasa sudi bercerita dengan Alik. Tanyalah apa sahaja saya akan cuba menjawab,” kata Ayu dalam sebak. Bibirnya diketap kuat. Cuba menahan tangis.
“Tak apalah, Ayu. Aku tidak mahu menyusahkan kamu. Aku pergi dulu Ayu. Kalau kawan-kawan kita nampak aku bersama kamu, nanti lain pulak cerita yang timbul”. Alik bingkas. Langkahnya diatur laju menuju ke pintu masuk perpustakaan. Ayu Putri memandang sayu. Dia mengeluh perlahan. Keychain pemberian Alik direnung. Air matanya yang hampir menitis diseka.

“Alik, awak tetap kawan saya. Saya sentiasa doakan awak moga suatu hari nanti, hidayah Allah akan sampai pada awak,” gumam Ayu dalam sendu.

Tangga Perpustakaan Sultanah Zanariah dituruni perlahan. Fikirannya masih teringatkan kata-kata Alik tadi. Siapalah yang tidak puas hati dengan keakraban mereka. Entah di mana silapnya, tiba-tiba dia terasa seperti badannya menggelongsor ke bawah. Bertaburan buku-bukunya. Semua yang berada di bilik belajar 24 jam memandang ke arahnya. Ada yang memandang simpati, tidak kurang juga yang tersenyum lucu. Cepat-cepat Ayu Putri bingkas bangus. Buku-bukunya dikutip. Pantas dia melangkah pulang ke kolejnya. Tidak tahu macam mana keadaan dia semasa jatuh tadi. Terasa mukanya memerah menahan malu.

Setibanya di bilik, tudung krim yang menutup kepalanya dibuka. Fatin yang sedang menatap komputer dirapati. Tanpa dipelawa, katil bercadar hijau tua itu dihenyak. Dia merenung Fatin. Fatin yang sedang tekun menyiapkan tugasan memandangnya sekilas. Jarang Fatin melihat wajah Ayu Putri begitu. Gadis itu sentiasa ceria. Fatin memusingkan badannya mengadap Ayu Putri. Pasti ada sesuatu yang mengganggu emosi teman sebiliknya itu.

“Ayu, kenapa ni? Kenapa muka tu cemberut je. Bergaduh dengan pakwe ye,” usik Fatin. Sengaja dia mengusik Ayu Putri. Sememangnya dia telah sedia faham, Ayu Putri tidak mempunyai seseorang yang istimewa. Bagi Ayu Putri, pelajaran lebih utama.
“Mana ada. Fatin ni, orang serius dia main-main pulak,” rajuk Ayu Putri.
“Ok..ok..cerita kat Fatin. Fatin tak main-main dah. Janji,” ucap Fatin sambil mengangkat tangannya seperti berikrar.

Tiba-tiba pintu bilik mereka dikuak. Aida menjengukkan kepalanya. “Fatin, tadi kata nak pergi arked. Nak makan tengah hari. Tak bersiap lagi ke?” ucap Aida sambil melangkah ke dalam bilik. Kerusi di meja Ayu Putri ditarik. “Ayu, jom ikut kami makan kat arked,” tambah Aida. Ayu menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum nipis. Peristiwa jatuh tangga tadi mematikan seleranya.

“Kejaplah Aida. Kawan kita ni tengah ada masalah. Ok, Ayu. Ceritalah apa masalahnya,” kata Fatin sambil bangun mencapai t-shirt lengan panjang berwarna khakis yang tersangkut di dalam almari bajunya.

“Sebenarnya, saya tengah sedih ni. Sesuatu telah terjadi pada saya tadi. Saya pun tak sangka benda ni akan jadi pada saya. Malu sangat. Tak tahu nak letak kat mana muka ni. Tak nak ke PSZ lagi lepas ni,” ucap Ayu Putri perlahan.

Fatin merapati Ayu Putri. Muka Ayu direnung hairan. Tangan Ayu dipegang. “Ayu, kenapa ni? Ceritalah kat kami.”

Ayu Putri tunduk memandang lantai. “Sebenarnya, masa saya nak balik tadi. Saya terjatuh kat tangga PSZ. Dari anak tangga paling atas, tergolek sampai ke bawah. Sakit tau. Semua orang kat dalam bilik belajar 24 jam pandang saya. Siap ada yang gelak lagi. Tak tahu nak letak muka ni kat mana.” Selesai sahaja bercerita, Ayu menyembamkan mukanya ke bantal Fatin.

Fatin dan Aida tergamam. Mereka saling memandang. Serentak kedua-duanya ketawa berdekah-dekah di atas lantai bilik itu. Ayu Putri bingkas bangun. Bulat matanya memandang kedua-dua rakannya yang sedang ketawa. Tiba-tiba ketawanya turut pecah. Mereka sama-sama ketawa. Hilang rasa sedih Ayu. Ayu menanam tekad baju kurung krim berbunga kuning itu akan dihantar pulang ke kampung. Tidak mahu lagi memakai baju kurung yang dipakainya semasa terjatuh di tangga PSZ.
____________________________ ******____________________________

“Impian itu semakin hampir dalam gengaman”

Hampir lima tahun di bumi UTM, Skudai terlalu banyak kenangan Ayu Putri bersama rakan-rakannya. Di sini segalanya bermula. Dan di sini juga segalanya akan berakhir. Tidak lama lagi mereka akan mengikut haluan masing-masing.

Mereka pasti tak akan dapat lagi menikmati keenakan nasi putih dan telur dadar bersama sup kosong di Central Point apabila pinjaman atau biasiswa belum masuk. Pernah suatu hari mereka seramai lima orang menempah 5 biji telur dadar sehingga tukang masak kafe mengatakan telur telah habis kerana tidak larat memasak terlalu banyak telur dadar. Mereka sudah pasti tidak dapat lagi merasai kerangupan pisang goreng dan keenakan nasi kerabu bazaar ramadhan di perkarangan tempat letak kereta B11. Balai Cerap sudah pasti tidak lagi dikunjungi dan didaki. Monyet-monyet di sepanjang jalan ke Balai Cerap tidak akan lari berkeliaran lagi apabila ditakutkan oleh mereka. Yang pasti Blok B11, Fakulti Alam Bina tidak akan riuh lagi dengan gurau senda dan nyanyian sumbang mereka. Tempat letak kereta B11 itu juga tidak akan dapat menyaksikan gadis lincah itu bermain kejar-kejar di waktu malam.

Hari terkahir di bumi UTM itu, tidak banyak yang diperkatakan. Semua sibuk menyiapkan kertas projek untuk dinilai. Tiada ucapan selamat tinggal. Masing-masing tergesa-gesa ingin pulang. Ada yang telah mendapat kerja dan perlu bertugas secepat mungin. Syukur, begitu murah mereka.

“UTM, bumi barakahmu kami tinggalkan. Moga makin ramai cendikiawan yang kau lahirkan. Hari ini bumimu kami tinggalkan, esok kami pasti akan datang. Segulung ijazah kami bawa pulang.”




Tuesday, March 24, 2009

SEBENING KASIH..chapter 3

“Renunganmu menggegarkan jantungku”

Ayu Putri bersama ahli kumpulannya masih sibuk menndirikan khemah sejak sampai di Desaru. Barang-barang disusun kemas di dalam khemah. Setelah semuanya selesai, mereka berkumpul di tepi pantai. Petang tersebut ada pertandingan bola beracun.

Ayu terduduk kepenatan. Peluh membasahi wajahnya. Pipinya memerah kerana kepanasan. Namun hembusan angin petang pantai Desaru begitu cepat mengeringkan peluhnya. Fatin di sebelah dirapati. Kepalanya dilentukkan di bahu Fatin. Ayu Putri memang manja dengan teman sebiliknya itu.

Mentari petang mula melabuhkan tirainya. Cahaya keemasan di langit mula malap. Cepat-cepat dia bingkas bangun memandangkan waktu maghrib akan masuk tidak lama lagi. Kata orang tua-tua, waktu maghrib banyak syaitan berkeliaran terutamanya di tepi pantai.
“Fatin, jom kita mandi. Dah dekat maghrib ni. Nanti ramai pulak orang dalam bilik air,” ucap Ayu Putri sambil mengibas-ngibas pasir di seluar sukannya. Fatin bingkas dari duduknya. Mereka beriringan ke khemah.

Malam itu, selepas makan malam mereka berkumpul untuk sesi perkenalkan diri. Tempoh seminggu masih belum cukup untuk mereka mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat. Seorang demi seorang memperkenalkan diri. Kini tiba giliran jejaka tinggi lampai itu pula memperkenalkan dirinya. Semua mata tertumpu padanya. Beberapa pelajar perempuan berbisik-bisik. Agaknya mereka tertarik dengan perwatakan jejaka tersebut, fikir Ayu Putri. Pada Ayu Putri tak ada yang menariknya tentang jejaka itu.

“Nama saya Aiman Rifki. Boleh panggil saya Aiman atau Rifki. Nama manja Am, “ ucap jejaka itu sambil tersengih. Meluat Ayu Putri melihat sengihan jejaka itu. Berebut-berubat pelajar perempuan kelasnya ingin bertanya soalan. Ayu Putri hanya tunduk membisu.

Selesai sesi suai kenal, mereka dibenarkan untuk membuat aktiviti bebas. Kebanyakannya ingin berkaraoke. Ayu Putri memilih untuk tidur sahaja. Semalaman dia tidak tidur menyiapkan tugasan studio tentang konsep bandar. Badannya terasa amat letih dan matanya semakin berat. Dia melangkah pantas ke khemah.


“Ayu! Tunggulah dulu. Tak kan dah nak tidur. Jomlah ikut kami karaoke,” jerit Ain. Ayu Putri menoleh. “Tak apalah Ain, saya penat. saya balik khemah dulu ye. Nak tidur,” balas Ayu Putri sambil mengukir senyuman. Fatin dan Ija turut mengikut langkah Ayu.

Sebaik masuk ke khemah, Ayu terus mencapai bantal kecilnya. Kepalanya direbahkan di atas bantal. Fatin turut baring di sebelah Ayu.

“Ayu, Aiman Rifki tu handsome kan. Dah lah handsome, tinggi, putih. Kalau dapat jadi pakwe Fatin kan best. Apa pendapat Ayu?” kata Fatin sambil tersenyum. Badannya dipusing mengadap Ayu Putri yang baring di sebelahnya apabila soalannya dibiarkan tidak berjawab. Rupa-rupanya Ayu Putri telah terlelap. Dalam kesamaran cahaya dari pentas karaoke, wajah Ayu Putri direnung. Wajah temannya itu nampak tenang dan manis.

Pagi sabtu itu, Ayu bangun awal. Fatin di sebelah dibiarkan tidur. Selepas dia mandi nanti dia akan kejutkan Fatin. Tuala dicapai. Dengan malas dia melangkah ke bilik air. Bayu pagi di tepian pantai bertiup lembut. Sejuknya hingga ke tulang sum-sum. Seusai solat Subuh, Ayu Putri mengejutkan Fatin.

“Fatin, bangunlah. Dah pagi ni. Dah ramai yang bangun. Nanti penuh pulak bilik air tu. Pagi ni kita ada riadah di tepi pantai,” ucap Ayu Putri sambil menggoyang-goyang bahu Fatin dengan lembut. Fatin menggeliat malas.

Sedang mereka bersiap-siap, tiba-tiba Anis bersuara. “Kawan-kawan, malam tadi berapa orang ye tidur dalam khemah kita?.” Semua yang berada di dalam khemah terdiam dan saling memandang.
“Kalau tak silap Ija, malam tadi kita tidur bertiga. Ija, Ayu dan Fatin. Anis masuk kemudian kan. Emm..maksudnya kita tidur berempatlah,” balas Ija.
“Kenapa Anis?” tanya Fatin cemas.
“Sebenarnya, malam tadi selepas duduk di tepi pantai dengan Azam, Anis balik ke khemah. Anis terus tidur. Tiba-tiba Anis terjaga, Anis kira kepala, ada lima kepala termasuk Anis. Maksudnya, ada makhluk lain tumpang tidur dalam khemah kita malam tadi.” Jawab Anis dengan muka cuak.

Masing-masing terdiam. Soal makhluk menumpang tidur di khemah mereka berakhir sebaik sahaja ketua riadah, Ashraf meniupkan wisel. Semua pelajar bergegas ke tepi pantai. Aktiviti riadah pagi itu bermula dengan pemanasan sebelum berjogging di sepanjang pantai Desaru. Pasir pantai yang lembut membuatkan kaki berat untuk melangkah. Sekejap sahaja masing-masing telah bermandi peluh dan kepenatan.

Petang itu, ramai yang memilih untuk berlatih persembahan. Bagi kumpulan Ayu, mereka telah membuat keputusan untuk berlakon secara spontan. Jadi, mereka tidak perlu berlatih. Untuk mengisi masa terluang di waktu petang begitu, Ayu mengajak Fatin bermain bola. Sudah lama bola jaring itu tidak disentuh. Rindunya semakin sarat.

Seronok dia membaling-baling bola. Rindunya terubat. Sedang dia leka bermain, terasa seperti dirinya diperhatikan. Kalut dia megawal diri. Bola yang dibaling Fatin gagal disambut. Semasa dia memungut bola yang terlepas, mata terpandang ke arah kawasan perkhemahan mereka. Jejaka itu berdiri tegak memandangnya. Mata mereka bertentangan. Lama Ayu terpaku. Terasa ada getaran di dadanya.

“Ayu, cepatlah. Baling bola tu. Macam mana netballer kolej tak boleh tangkap bola, buat malu je,” jerit Fatin.
Jeritan Fatin mengejutkan Ayu, mukanya merona merah. Malu dengan keterlanjuran diri. Cepat-cepat dia beristifar.

“Emm..Fatin, saya dah penatlah. Kita main lain kali ye. Jom kita duduk-duduk je tepi pantai ni,” balas Ayu mencipta alasan. Jantungnya masih berdegup kencang. Sungguh dia tak mengerti dengan apa yang dia rasa sekarang.

“Aiman Rifki, renunganmu menggetarkan jantungku,” gumam Ayu Putri perlahan. Nafasnya ditarik dalam. Tak mungkin, ada rasa yang bermukim. Tak mungkin ada hati yang terpaut.

SEBENING KASIH..chapter 2

“Kalian pelengkap hidupku”

Ketukan di pintu dibiarkan saja. Ayu tersenyum memandang Fatin yang tidur lena. Sengaja dibiarkan tetamu itu mengetuk pintu, malas dia ingin bangun membuka pintu. Tetamu itu bukan tidak biasa ke biliknya. Perkenalan yang singkat itu telah menitipkan bibit-bibit mesra antara dia dengan rakan-rakan perempuan sekuliahnya.

Selepas ketukan yang ketiga, barulah Ayu Putri bangun membuka pintu. Mukanya sengaja dimasamkan.

“Assalamualaikum, Cik Ayu. Dah naik kematu tangan ni ketuk pintu, baru nak buka. Mana Fatin? Tidurlah tu minah tu,” ucap Ija sambil melangkah masuk ke dalam bilik yang dihuni oleh Ayu dan Fatin.
“Ala, Ja. Macam tak biasa. Hari ni kenapa sopan? Selalu, main redah je kan,” ucap Ayu sambil tertawa.
“Duduklah.” Ayu mempelawa.

Ija menarik kerusi yang terletak di meja komputer lalu duduk. Tangannya membelek-belek helaian kertas yang berselerakan di atas meja. Matanya memandang Ayu Putri yang terbaring kepenatan di katil bercadar merah jambu. Baru sahaja mempelawa dia duduk, dia sudah tertidur. Mungkin Ayu terlalu mengantuk setelah semalaman tidak tidur menyiapkan tugasan studio. Tangan Ayu Putri dikuis. Ayu Putri yang tengah mamai itu menepis lembut.

“Ayu, bangunlah. Ada sesuatu yang Ija nak tanya kat Ayu ni. Bangunlah Ayu.” Ija mengoyang-goyang tubuh kecil Ayu.
“Ija, saya ngantuklah. Boleh Ija bagi saya lima minit? Lima minit je, ok. Nanti Ija tanya ye,” balas Ayu Putri perlahan.

“Baiklah, kalau Ayu tak nak bangun tak apalah. Cuma satu je Ija nak tanya Ayu. Barang dah kemas belum? Puan Noraini cakap, pukul 3.00 kita mesti berkumpul kat tempat letak kereta Central Point,” ucap Ija sambil menarik tangan Ayu.
Sebaik sahaja terdengar nama Puan Noraini, pantas Ayu dan Fatin bingkas bangun. Nama itu seolah-olah mempunyai kuasa yang boleh membangunkan mereka, menyegarkan mata yang kantuk. Tergelak Ija melihat muka kedua-dua rakannya yang terkejut.

“Ija, kenapa tak cakap awal-awal?” jerit Ayu Putri dan Fatin serentak.
“Manalah Ija tahu, ingatkan kamu berdua dah bersiap. Nasib baik Ija datang. Kalau tak kamu mesti dapat nama baru,” balas Ija. Ketawanya semakin kuat.

“Fatin, jom bersiap. Nanti tak pasal-pasal kita dapat nama Minah Satu dan Minah Dua,” ucap Ayu Putri. Tangannya pantas mencapai beg pakaian. Pakaian yang bersangkut di dalam almari dicapai satu persatu.

Fatin turut bingkas dari katilnya. Tangannya mencapai bantal kecil lalu dibaling geram ke arah Ija yang masih ketawa. Ija cuba mengelak dan pintu bilik ditutup. Dia berlalu ke biliknya dengan ketawa yang masih bersisa.

Tergesa-gesa Ayu Putri dan Fatin mengemas barang untuk perkhemahan di Desaru. Jam menunjukkan pukul 2.15 petang. Bermakna mereka masih ada 45 minit lagi untuk berkumpul di Central Point. Mereka perlu bertolak sekarang memandangkan Kolej Tun Razak terletak agak jauh dari Central Point walaupun kedudukannya masih dalam lingkaran dalam. Tambahan pula mereka terpaksa membawa beg pakaian yang berat. Entah berapa kilo beratnya.

Setelah bersiap-siap, Ayu Putri dan Fara berjalan beriringan ke Central Point. Sambil berjalan mereka berbual mesra. Sesekali Ayu Putri ketawa kecil.

SEBENING KASIH..chapter 1


"perjalanan panjang yang melontarkan aku ke sini adalah kehendakNya.."

Tilam tanpa cadar itu dihenyak. Penat dia mengangkat barang-barang dari van tadi. Mujur Kak Long dan Kak Ngah membantu. Keluarganya baru sahaja bertolak pulang ke kampung, sebaik sahaja sesi pendaftaran kolej selesai. Ini bukan kali pertama dia berjauhan dengan keluarga. Seawal usia 13 tahun, dia telah tinggal di asrama kerana mendapat tawaran belajar di salah sebuah sekolah berasrama penuh aliran agama di Kajang. Namun hatinya tetap sayu. Mengenangkan emak yang masih sakit.

Tiba-tiba pintu biliknya dikuak. Spontan dia bangun. Gadis di hadapannya disalami. Bibirnya mengukir senyuman. Dia memperkenalkan diri.

"Ayu Putri, boleh panggil Ayu. Nak panggil Putri pun boleh atau apa-apa saja."

Teman sebiliknya turut mengukir senyuman, "Nur Fatin, panggil Fatin je." Wajah Ayu Putri direnung. Terdetik di hati Fatin, perwatakan Ayu Putri seayu namanya.

Minggu Haluan Siswa selama seminggu sungguh memenatkan tapi cukup menyeronokkan Ayu Putri. Sudah lama dia tidak menyentuh bola, perlawanan bola jaring antara kolej telah mengubat rindunya pada dunia sukan. Kesungguhan pasukan Kolej Tun Razak berlatih telah melayakkan mereka menjadi juara.

Teringat waktu dia di Tingkatan Lima semasa mengambil SPM. Setiap petang pasti dia turun ke padang walau bersendirian bermain bola jaring. Disebabkan terlalu minat dengan bola jaring, dia pernah didenda oleh Guru Geografinya menulis 1000 patah perkataan "Saya tidak akan gagal lagi dan akan belajar bersungguh-sungguh" kerana gagal dalam subjek geografi, semata-mata terlalu menumpu perhatian kepada perlawanan bola jaring antara zon. Naik kematu jarinya menyiapkan 1000 perkataan dalam masa sehari. Mengimbau kenangan itu, Ayu Putri tersenyum sendiri. Apa khabar agaknya Cikgu Masita, guru yang baik tapi tegas.

Disebabkan denda tersebut, dia bertekad belajar bersungguh-sungguh tapi tidak bermakna melupakan sukan yang sangat diminatinya itu. Akhirnya di bumi UTM ini dia tercampak untuk meneruskan impian dan cita-citanya.

_______________________ ******** ________________________


“Di sini bermulanya sebuah impian..tercetusnya sebuah cita-cita”


Bilik hujung di tingkat lima blok B02 dituju. Mengah dia memanjat tangga bangunan setinggi lima tingkat itu. Di situlah terletaknya bilik yang dipanggil studio. Apa yang terbayang di fikirannya, sebuah bilik yang lengkap seperti studio rakaman. Setibanya di bilik tersebut, sangkaannya meleset sama sekali. Bilik besar itu menempatkan beberapa meja yang besar dan kerusi berwarna biru. Seorang demi seorang pelajar kelasnya tiba. Separuh daripada mereka adalah berbangsa Cina.

Ayu Putri menarik nafas panjang sebaik sahaja Dekan Fakulti Alam Bina selesai menyampaikan taklimat ringkas tentang kursus Integrasi Perancangan Bandar dan Wilayah. Termanggu-manggu dia, bimbang memikirkan mampukah dia menghadapi pembelajaran yang agak berat. Kursus ini berbeza dengan kursus lain kerana adanya subjek studio yang mana memperuntukkan 5 kredit. Tambahan pula, dia perlu bergaul dengan pelajar lelaki dan berlainan bangsa. Risau dia memikirkannya. Belajar di sekolah aliran agama membuatkan dia tidak biasa dengan keadaan tersebut. Namun dia perlu biasakan diri demi cita-citanya. Ayu Putri mengeluh.

“Kenapa mengeluh ni?” soal rakan di sebelahnya. Jejaka cina yang baru dikenalinya tadi direnung sambil mengukir senyuman. Pantas kepalanya digeleng.

“Senyum pulak. Ni mesti teringat pakwe kat kampung.” Edward yang sejak tadi memerhati gerak-geri gadis bertudung putih itu mengusik.

“Huh! Pakwe? Muka macam saya ni, manalah ada pakwe, Edward. Sebenarnya saya risau dengan subjek studio ni. Saya bukannya pandai sangat melukis. Tengoklah kerja-kerja yang senior kita hasilkan. Mampu ke saya buat? Pensyarah-pensyarahnya pula, macam garang je kan. Takut saya,” ucap Ayu Putri penuh emosi.

“Ayu, belum cuba belum tahu. Senior-senior kita tu pun sebelum ni macam kita juga. Tak tahu apa-apa. Bila diajar dan mencuba, mereka boleh buat. Percayalah kita boleh buat,” balas Fatin di sebelahnya.

Ayu Putri terdiam. Kata-kata itu ada kebenarannya. Belum cuba belum tahu. Teringat dia dengan satu kata dari novel yang pernah dibacanya, “Don’t say no before you try.” Kalau senior-seniornya mampu lakukan kenapa tidak dia.

“Okeylah Edward, kami pergi dulu. Lain kali kita sambung lagi. Kami nak ke perpustakaan,” ucap Ayu seraya mencuit Fatin dan terus berlalu ke pintu. Langkahnya panjang-panjang.

“Ayu, jangan laju sangat nanti terjatuh. Kirim salam kat pakwe awak!” laung Edward setelah Ayu agak jauh berlalu.
Tanpa berkata apa-apa, pantas Fatin mengatur langkah. Sesekali dia berlari-lari anak cuba menyaingi langkah Ayu yang semakin laju.

“Kenapa ni, Ayu, kenapa tergesa-gesa? Buat apa ke perpustakaan? Kita tak dapat lagi tugasan. Perpustakaan tu sejuklah. Kita balik bilik ye, lagi pun Fara mengantuklah” Fatin berkata perlahan.

Ayu memperlahankan langkahnya. Matanya melilau ke kiri dan ke kanan. Fatin ditarik rapat ke badannya. “Maaf, Fatin. Kalau saya cakap ni, Fatin jangan gelak ye. Sebenarnya saya tak sukalah bila orang lelaki pandang semacam kat saya. Saya rimas, tak biasa. Sebab tulah saya nak keluar dari studio cepat-cepat.”

Terlopong mulut Fatin memandang Ayu Putri. Spontan tawanya meletus. Ayu terdiam dan terus berlalu. Pipinya memerah. Malu dia diketawakan begitu. Seolah-olah dirinya yang perasan.

Fatin mengejar Ayu. Ketawanya masih bersisa. Faham benar dia dengan perangai Ayu. Manja dan mudah merajuk tapi rajuknya tidak lama.

“Siapa lelaki yang pandang Ayu tadi? Ceritalah kat Fatin, nanti Fatin cungkil biji mata dia. Kalau Fatin cungkil biji mata dia, dia dah tak boleh pandang Ayu kan.” Pujuk Fatin.

Ayu menggeleng-geleng kepalanya. Mukanya masih serius. “Tak apalah, Fatin. Kesian dia, buta pulak dia nanti kalau Fatin cungkil biji mata dia. Sayanglah muka kacak tapi buta,” ucap Ayu sambil tersengih dan berlalu pergi. Terpinga-pinga Fatin.

Saturday, March 14, 2009

sebening kasih...

nantikan kemunculan novel sebening kasih..tika mekarnya bunga cinta, harumnya rindu, indahnya asmara. pengorbanan ayu putri dipandang sepi, tak bererti. sudah keringkan kasih yang dibaja, sudah dinginkah kesungguhan memiliki hati ayu putri?

tika pintu hati ayu putri dibuka hanya untuk aiman rifki. aiman rifki melukai hati ayu putri. duhai perempuan, haruskah kesabaranmu diuji..mengapa masih tega mempertahankan kebeningan cintamu? haruskah hatimu dilukai? tika selautan kasih dan pengorbanan kau pertaruhkan baru kau sedari kau hanya bermimpi..sewajarnya ayu putri tidak perlu mengharap cinta yang tak pasti. biarkan ia berlalu pergi..

CINTA dalam hidup ayu putri datang dan pergi sehingga dia merasakan cinta itu dusta..aiman rifki, aliff firdaus..duhai lelaki, cukuplah mengguris hati seorang ayu putri.

aiman rifki : mengapa memilih yang lain andai cinta ayu putri yang kau dambakan..

aliff firdaus : jika sebenarnya cinta, mengapa harus ada pendustaan..

Monday, March 9, 2009

sambal tempe..

I keep on praying, my 25th besday is the best besday than before. alhamdulillah, Tuhan makbulkan doa kte even xde ucapan dr dia yg kte tunggu, smpai skrg pn dia xwish lg.. kte pn dh xhrp ape2 dh. myclass mate and the gang dtg KT, kebetulan je sbnrnya and we celebrated mybesday. even no cake, I appreciate it much. coach ceria ari kte dgn lawak n gelak nya. satu kata-kata dia yg kte igt..kalo org buat jahat kt kte, kte kne buat lagi jahat. btul gak dia kata kn tp kte xnklh buat mcm tue..hehe

n, ahad kte gi opis. tiba2 ade smthing ats meja computer kte..a cute teddy bear with bintang2..so, berbintang2lh ari tue..thanks 2 my best fren at myopis..dialh tmpt kte bercerita. menangis n ketawa..we're very close..sgt rapat..also, blk je rumah, mak kte kata ade bungkusan ats katil kte. dr bau kte dh tahu sape yg bg..mybestest fren dr JBlh..sm1 dat I appreciate very much..n ble kte bukak je..jeng..jeng..kotak digicam..so, kte pn beranganlh dpt digicam..tp rupa2nya..sesuatu yg kte suke..tempe..hehe..5 ketul dlm 2..thanks myprincess cinta..

sambal tempe..
5 ketul tempe (dihiris nipis)
1 gengam ikan bilis
1 ulas bawang putih (dimayang)
1 ulas bawang merah (dimayang)
3 tangkai cili padi (dimayang)

1. goreng tempe n ikan bilis hingga garing
2. toskn minyak..
3. tumis bawang putih, bawang merah hingga garing
4. masukkn tempe n ikan bilis
5. agak2 dh ok br masukkn cili padi..sudah siap

p/s: cili padi pilihlh yg color merah n hijau..biar nampak cantik skit..hehe. 2 my princess, terharu sgt..ni lagi sayang kt awk ni..

Sunday, March 1, 2009

bubur jagung..

emm..1 mac 2009 permulaan hari yg baik.. sebelum subuh kte dh bangun..jenguk2 kt dapur, tengok mak kte ngah msk nasi goreng utk kte bwk bekal ke opis..nilh best duk ngan mak..hehe.

ari ni smpai je kt opis, kte kne gi site, blk je dr site..kte nmpk ade sesuatu ats meja kte..kte pn bukaklh..rupa2nye surat panggilan AGM PERSADA..kte mls nk bg usul2kn..yg lawaknye siap tulis PUAN..Im not PUAN, not yet, still CIK..ahaks. tiba ade lg bende dlm sampul 2..rupa2nya special card utk kte..BEST WISHES dr PERSADA. emm, bestnyer, seminggu lg besday kte, dh dpt kad..sgt best..kte hrp besday kte tahun ni penuh makna..kte xnk mcm besday tahun lps..mmg penuh makna tp ckup sedih..xmmpu kte lupakan..kte igt smpai ble2 hadiah besday yg sungguh menyedihkn 2..smpi skrg kte rs sedih tue..

bubur jagung..
1 tin biji jagung..
1 ketul gula melaka..
secawan santan..
daun pandan
1. biji jagung direbus bersama airnya dan sedikit air..
2. masukkan gula melaka..kacau hingga larut..
3. masukkan daun pandan
4. masukkan santan..biarkn masak..
5. nk letak sikit sagu biji pn boleh..selamat mencuba


emm..bout rezki dan kerja2 kte. moga Allah murahkn rezki kte dan permudahkn segala urusan kte dunia akhirat..amin. sungguh kte rasa nikmat Allah. moga Allah jadikan kte org yg ikhlas dlm pemberiaan, redha dgn dugaan, sabar dgn ujian, syukur dgn segala rezki..moga cinta kepada Allah lbh hebat dr cinta kte kpd sekalian makhluk dan ciptaanNYA..
satu kata2 iman Al-Ghazali..
tika aku pohon kekuatan, Allah beriku kesulitan hingga aku kuat..
tika aku pohon kebijaksanaan, Allah beriku masalah untuk diselesaikan..
tika aku perlukan cinta, Allah beriku orang bermasalah untuk kutolong..
tika aku pohon bantuan, Allah beri kau kesempatan...
tika aku tak pernah terima apa yang kupinta, tapi aku terima apa yang aku perlukan..
maha suci Allah..