Monday, May 11, 2009

SEBENING KASIH..chapter 11

“Relevankah aku dihatimu”

Pakaiannya telah siap dikemas. Beg biru gelap itu digalas. Kakinya laju melangkah menuju ke perhentian bas di hadapan Jusco Taman Universiti. Seketika kemudian, bas yang ditunggu tiba. Setibanya di hadapan restoran McDonald Sri Skudai, dia menekan loceng. Beg pakaiannya digalas. Tangga bas dituruni. Dia mengeluh perlahan. Pembinaan jalan baru di persimpangan Sri Skudai menyusahkan pengguna jalan terutamanya pejalan kaki seperti Ayu Putri. Dia terpaksa berjalan jauh untuk melintas jalan menggunakan jejantas. Bimbang dia ingin melintas tanpa menggunakan jejantas, kenderaan semuanya dipandu dengan halaju tinggi memandangkan laluan tersebut termasuk dalam kategori lebuhraya. Berpeluh-peluh dia mendaki tangga jejantas. Jam tangannya dipandang. Jam telah menunjukkan pukul 8 pagi. Dia telah terlewat. Kakinya dihayun pantas.

Setibanya di persimpangan lampu isyarat berhampiran dengan Sekolah Menengah Sri Skudai, sebuah kereta Mercedez Benz berhenti di sebelah Ayu Putri. Ayu Putri memperlahankan langkahnya. Bibirnya mengukir senyuman. Lelaki tinggi lampai turun dari kereta dan menghampirinya. Ayu Putri menghulurkan beg pakaiannya dan memohon maaf di atas kelewatannya. Pintu kereta dibuka. Dingin pendingin hawa menyejukkan badannya yang berpeluh-berpeluh.

Perjalanan selama dua jam dari Johor Bahru ke Melaka terasa terlalu lama. Aiman Rifki telah beberapa kali menghantar mesej kepadanya. Tidak sabar ingin berjumpa dengan Ayu Putri katanya. Ayu Putri tersenyum senang. Dia juga seperti Aiman Rifki, tidak sabar untuk berjumpa dengan jejaka itu. Namun, tiba-tiba jantungnya berdebar kencang. Bagaimana nanti penerimaan emak Aiman Rifki nanti.



**************************

Sebaik melepasi Tol Air Keroh, matanya kembali segar. Sudah lama Ayu Putri tidak mengunjungi negeri Bersejarah itu. Kali terakhir dia ke situ tiga tahun yang lalu, semasa dia dan Syira praktikal di Majlis Daerah Jasin. Terlalu banyak kenangan manis dia dengan Syira di bumi Hang Tuah itu.

Setiap hujung minggu Bandar Hilir pasti dikunjungi. Mereka berdua akan menjelajah Kota A’Famosa. Sama-sama mendaki Bukit Cina sambil bercerita dan bergelak ketawa. Berehat seketika di puncak bukit, melepaskan penat dan melihat pemandangan Selat Melaka dari atas bukit. Lalu turun menyusuri lereng bukit mengunjungi Muzium Perahu. Akhirnya mereka singgah di taman berhampiran Dataran Pahlawan, melepaskan lelah. Bekalan makanan dibuka. Mereka duduk bersila di bawah pokok sambil menikmati nasi lemak ayam goreng dan susu GoodDay. Kegemaran mereka sama. Mereka bercerita, membuat andaian dan ketawa. Seolah-olah mereka tidak pernah dikunjungi masalah. Tika itu mereka tidak mempunyai kamera, maka tiap kenangan bersama diabadikan dalam ingatan.

Syira pernah berkata, “Gambar-gambar kita hari ini kita rakamkan di dalam ingatan kita. Sampai bila-bila pun kita akan ingat. Walau orang lain tidak dapat melihat kegembiraan dan kebahagian kita, tapi kita tahu kita bahagia berdua.” Inilah erti sebuah persahabatan. Ayu Putri tersenyum. Rindu dia pada Syira, teman baiknya yang memahami.

Lamunannya terhenti sebaik Mercedez Benz berwarna emas itu berhenti di hadapan bangunan Graha Peladang. Tangga ke tingkat dua didaki. Staf-staf Pejabat Projek Zon Tengah sedang menikmati juadah. Mereka dipersilakan makan. Pelbagai juadah dihidangkan. Ada lemang, ketupat, rendang, nasi beriani dan pelbagai lagi. Selesai menjamu selera, Ayu Putri memulakan kerja. Terlalu banyak benda yang perlu difikirkan. Tiba-tiba Haji Kamal menghampiri.
“Ayu, kita terus balik hari ni ye. Awak boleh selesaikan semua kerja hari ni kan.” Haji Kamal bersuara.
Ayu Putri terdiam. Teringat janjinya pada Aiman Rifki. Lambat-lambat dia menganggukkan kepalanya tanda setuju. Telefon bimbitnya dicapai. Aiman Rifki perlu dimaklumkan segera supaya senang dia memberitahu emaknya mereka tidak dapat berjumpa kerana Ayu Putri perlu segera pulang ke Johor Bahru.


**************************

Jam 8 malam baru Ayu Putri tiba di rumah sewanya. Dia terbaring kepenatan. Perjalanan itu sungguh memenatkan. Tambah-tambah lagi fikirannya asyik memikirkan Aiman Rifki. Tentu Aiman Rifki merajuk kerana mereka tidak dapat berjumpa. Bungkusan kuih yang dibawa untuk Aiman Rifki dipandang sayu. Bukan dia yang membatalkan temujanji itu tapi dia terpaksa atas arahan bosnya.

Ayu Putri mencapai telefon bimbitnya. Sekali lagi dia memohon maaf kepada Aiman Rifki. Sudikah Aiman Rifki memaafkannya? Seketika kemudian, mesej dari Aiman Rifki diterima.
“Kte tak marahlah. Nak buat macam mana kan. Awak tengah buat apa tu? Bila awak sampai?”
“Thanks. Kte baru je sampai. Kte tengah berfikirlah, awk. Kte nak beli kereta rasanya. Apa pendapat awak?” Ayu Putri membalas.
“Emm..awak nak beli kereta? Tak payahlah. Kte kan dah ada kereta. Kereta kte kereta awak juga kan. Baik awak beli rumah. Nanti kte boleh duduk sama-sama kan.” Aiman Rifki menambah.
Ayu Putri terkedu. Mesej dari Aiman Rifki dibaca berulang kali. Dia masih tidak percaya dengan apa yang ditulis oleh Aiman Rifki. Aiman Rifki memang makasudkannya ke?
Lama Ayu Putri terdiam sehingga tiba satu lagi mesej dari Aiman Rifki. “Emm..kenapa awak diam? Awak dah tidur ke? Awak tak sudi kongsi rumah dengan kte? Kte beli banglo ye.”
“Emm..kte tak tidur lagi. Bukan kte tak sudi tapi kte keliru. Kte takut awak akan berubah fikiran nanti” Ayu Putri membalas.

Mesej dari Aiman Rifki menimbulkan tanda tanya kepada Ayu Putri. Aiman Rifki yang memulakan tetapi tiba-tiba dia pula cuba mengalih topik perbincangan. “Kte ngantuklah awak. Kte nak tidur. Good night and sweet dream, Puan.”
Tidak mahu memanjang-manjangkan cerita, Ayu Putri membalas mesej Aiman Rifki. “Good night and sweet dream too, mytuan besar.”


**************************

Hujung minggu telah tiba. Hari ini Ayu Putri telah berjanji dengan rakan-rakannya ke kenduri Nana di Mantin. Hadiah untuk Nana telah dibalut kemas. Hadiah untuk seseorang yang istimewa di hatinya juga telah tersedia berbalut dengan pembalut berwarna biru, warna kegemaran Aiman Rifki. Hadiahnya ringkas tapi cukup bermakna bagi Ayu Putri. Sukakah Aiman Rifki dengan hadiah pemberiannya? Ayu Putri berkira-kira sendiri.

Ayu Putri mengenakan kebaya pendek berwarna biru gelap dipadankan dengan tudung berwarna putih. Kebaya itu dijahit oleh Kak Long untuk hari raya yang lalu tapi masih belum dipakai. Teringat dia dengan kata-kata Aiman Rifki apabila dia memberitahu Kak Long telah menjahit kebaya untuknya.
“Awak pakai kebaya? Ni kte tak senang duduk ni. Mesti awak nampak manis kan. Kte nak gambar awak pakai kebaya tu.” Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinganya. Akhirnya Ayu Putri membuat keputusan tidak memakai kebaya biru di pagi raya sebaliknya memakai kebaya tersebut pada hari ini. Ayu Putri tersenyum di hadapan cermin. Ija di sebelah kehairanan memandang Ayu Putri tersenyum-senyum. Menyedari dirinya diperhatikan, Ayu Putri memusingkan badannya ke arah Ija.
“Ija, jomlah ikut kami ke kenduri Nana. Jomlah Ija. Bukan selalu kan. Nana kahwin sekali je tau.” Ayu Putri memujuk teman sebiliknya.
“Tak naklah. Ija banyak kerja. Ayu pergilah dengan kawan-kawan. Nanti kirim salam kat Nana ye.” Ija menolak ajakan Ayu Putri.
“Emm..kalau Ija tak nak pergi, saya pun tak nak pergi. Nak bukaklah tudung ni.” Ayu Putri pura-pura merajuk. Ija tersenyum.
“Ok, ok. Ija tukar baju dulu ye. Ayu ni kan, kalau bab memujuk, hati siapa-siapa pun boleh cair.” Ija bergegas menukar baju.
Ayu Putri tergelak. Dia bersorak gembira. Syira dihubungi segera bagi memaklumkan Ija ingin mengikut mereka.

Setelah setengah jam menunggu di hadapan apartment Melana, akhirnya Syira tiba bersama Yaya dan Sasha dengan menaiki kancil putih. “Ija, jom. Tu mereka dah tiba. Takpe kan naik kancil, kita tak besar sangat pun kan.” Ayu Putri tersengih.
“Kamu berempat memanglah tak besar sangat tapi Ija ni yang tembam.” Jawab Ija. Ayu Putri tersenyum sambil meraih tangan Ija. Bahu Ija dipeluk mesra. “Ala..Ija. Janganlah macam tu. Ija duduk depan ye.” Ija tersenyum sambil menganggukkan kepalanya. Kancil putih memecut laju merentasi Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke Mantin.

Mesej untuk Aiman Rifki dihantar segera bagi memaklumkan mereka telah bertolak ke Mantin. Aiman Rifki berjanji akan menunggunya di Tol Air Keroh. Mereka akan berkonvoi ke Mantin. Namun seketika kemudian, Aiman Rifki memberitahu dia akan terus ke Mantin kerana Amir bersamanya. Adakah hubungan ini menjadi satu rahsia? Ayu Putri berfikir sendiri.

Bungkusan hadiah hari jadi untuk Aiman Rifki dipandang. Bersungguh-sungguh dia mencari novel Relevankah Aku Di Hatimu di semua kedai buku untuk dihadiahkan kepada Aiman Rifki kerana dia sangat menyukai jalan cerita novel tersebut. Semua kedai buku di seluruh Johor Bahru, Terengganu dan Kuala Lumpur dijelajahnya semata-mata untuk sebuah novel. Semua rakannya dihubungi, namun dia masih hampa. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk membeli melalui internet tetapi memakan masa lebih seminggu. Sedangkan tiga hari lagi dia akan bertemu dengan Aiman Rifki. Dia hampa. Jusco Taman Universiti dimasuki. Untuk sekian kalinya kedai News.com dimasukki. Harapannya moga novel yang dicarinya ada di situ. Rak-rak buku di dalam kedai tersebut diperiksa dengan teliti.

Muka yang muram tadi bertukar ceria. Novel yang dicarinya terletak elok di atas rak. Hanya dua biji yang dipamerkan. Cepat-cepat Ayu Putri mencapai novel tersebut. Novel cinta berunsur Islam itu cukup menyentuh hatinya dan serba sedikit membentuk peribadinya. Banyak manfaat yang dia perolehi dari novel tersebut. Harapannya agar Aiman Rifki mendapat sesuatu daripada pemberiannya. Dia menuju ke kaunter pembayaran. Gadis di kaunter tersenyum memandangnya.
“Novel ni sangat laku. Tinggal dua ni je. Akak nak beli novel ni?” Gadis manis itu bertanya sambil tersenyum.
“Ya, dah lama saya cari novel ni. Baru hari ni saya jumpa. Dah banyak kedai buku saya pergi tapi tak ada. Tiap-tiap hari saya datang sini dengan harapan moga Allah menunaikan impian saya membeli novel ni. Akhirnya, dapat juga.” Ayu Putri tersenyum gembira.
“Iye? Akak nak baca atau nak hadiahkan pada seseorang?” Gadis itu bertanya lagi.
Ayu Putri tersenyum. “Emm..akak dah baca. Akak suka jalan ceritanya. Novel ini novel yang ilmiah. Sebenarnya akak nak hadiah kepada seseorang sempena hari lahirnya.”
“Tentu seseorang yang bermakna dalam hidup akak, kan. Kalau tak, akak tak kan berusaha sampai macam ni.” Gadis manis itu mengagak. Ayu Putri tidak membalas kata-kata gadis tersebut. Dia hanya tersenyum. Mukanya memerah. Duit bakinya dicapai seraya mengucapkan terima kasih. Bibirnya masih mengukir senyuman.


**************************

Setelah tiga jam di dalam kereta, akhirnya mereka sampai di Mantin. Sebentar tadi Aiman Rifki telah memaklumkan dia telah bertolak pulang. Malas menunggu lama, katanya. Ayu Putri tidak mengendahkan mesej dari Aiman Rifki. Biarlah Aiman Rifki ingin pulang dahulu, dia tidak kisah. Yang penting, dia perlu menemui Nana. Dia ingin mengucapkan tahniah kepada Nana. Mesti Nana gembira dengan kehadiran mereka.

Kelihatan tetamu masih ramai semasa mereka tiba di perkarangan rumah pengantin. Pengantin tengah bersolek rupanya. Nana kelihatan manis dengan kebaya hijau pucuk pisang. Mereka berpelukan. Tiba-tiba Ayu Putri terasa sayu, teman sebelah biliknya di universiti telah menjadi isteri orang. Nanalah yang telah mengajarnya memasak rendang. Ayu Putri cukup suka dengan rendang yang Nana masak. Sudah setahun lebih dia tidak merasa rendang buatan Nana. Rindu rasanya. Jika dulu, setiap kali pulang dari cuti semester, Nana pasti akan membawa rendang kegemarannya.

Ketika sedang menjamu selera bersama rakan-rakannya, tiba-tiba kereta Aiman Rifki memasuki perkarangan rumah Nana. Ayu Putri hanya memandang sekilas. Tadi, Aiman Rifki kata telah bertolak pulang. Setelah berjumpa dengan Nana dan suaminya, mereka meminta izin bertolak pulang. Bungkusan berbalut kertas biru dicapai dan diserahkan kepada Aiman Rifki. Ayu Putri hanya mengucapkan selamat hari lahir kepada Aiman Rifki dan berlalu pergi.

“Aiman Rifki, relevankah aku di hatimu?”


1 comment:

  1. Assalammualaikum wbr..

    Sahabatku Asimah, hayati bibit2 lgu ni, 10q:)
    Klu nk softcopy, ija ada, blh dengar...:)

    **************************
    Tanpa-Mu (In team)
    **************************

    Resah dan gelisah ku rasa
    Hidup penuh pancaroba
    Roda masa pantas berputar
    Menduga iman di dada
    Daku yang lena dan terleka
    Tenggelam di lautan dunia

    Kabur pandangan mataku
    Pada nikmat yang menggunung
    Mendustakan kurniaanMu
    Tiba murkamu menghukum

    Keangkuhanku kian hancur
    Lantas ku jatuh dan tersungkur

    TanpaMu kasih (Oh Kekasih)
    Ku tak berdaya (Ku terpedaya)

    Hilang punca dan arah (Pada helah dusta dunia)
    Hanyut alpa di arus bergelora

    Kasih (Oh Kekasih)
    Daku derita (Tangisku hiba)
    Lemah dalam sengsara (Dan mengalir oh air mata)
    Jiwa dan tubuh kepedihan
    Terseksa, terhukum
    Menanggung kifarah dariMu

    Telah ku lalui semalam
    Jalanan kelam dan suram
    Lampaui batasan insan
    KeagunganMu kulupakan

    Rahmat dariMu kudambakan
    KeampunanMu kupohonkan

    Tuhan, ku tak berdaya
    Tempuh segala, Tanpa kasihMu

    Hatiku ini merindu
    Sinar cintaMu Yang Agung
    Pasrah merayu redhaMu
    Ampuni dosa-dosaku
    Rahmat dariMu ku dambakan
    KeampunanMu ku pohonkan

    ReplyDelete