Saturday, April 4, 2009

SEBENING KASIH..chapter 6

“Hidup ini suatu perjalanan yang panjang”

Sudah 2 minggu berlalu. Mesej-mesej dari Aiman Rifki dipandang sepi. Hati Ayu Putri gelisah. Bimbang Aiman Rifki berkecil hati. Dia jadi keliru. Kepada teman baiknya, Fadilah seorang pelajar Senibina Landskap dia mengadu segala gundahnya. Dengan Fadilah, dia rasa lebih dekat dengan Tuhan. Fadilah, gadis manis bertudung labuh sering menasihatinya dengan penuh kelembutan. Mereka sering bertukar cerita dan rahsia. Sebenarnya Fadilah adalah kawan sekelas rakan sebiliknya. Entah macam mana mereka menjadi teman rapat yang saling menasihati dan mengasihi kerana Allah.


“Ukhti, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui. Selamilah hatimu. Hati akan tenang jika kita melakukan yang hak dan hati akan gundah jika melakukan bukan pada haknya. Dirikanlah istikharah. Minta PetunjukNya dan yakinlah dengan petunjukNya.”

Pesanan ringkas dari Fadilah petang itu cukup mendamaikan dan memberi Ayu Putri satu penyelesaian bagi masalahnya. Terasa kerdilnya diri berbanding teman yang dikasihinya itu. Mengapa selama ini dia alpa dengan satu kuasa yang Maha Agung?

Dengan rasa kehambaan, tika semua insan lena diulit mimpi indah, bangkitlah seorang gadis cuba melawan kantuk yang menyerang. Dingin air paip menyegarkannya. Lantas telekung dicapai. Khusyuk dia mengabdikan diri pada Tuhannya. Memohon keampunan, merintih dan merayu, mengadu segala gundahnya. Kepada Allah Ayu Putri pohon petunjuk agar diberi ketenangan. Moga tiap keputusannya dipandu Tuhan. Teringat dia dengan pesanan ustaznya semasa di SMAP Kajang dahulu. Sebagai seorang hamba, istikarah patut dilakukan setiap malam kerana setiap hari kita membuat keputusan. Walau pun bukan wajib hukumnya tapi satu amalan yang disukai Allah. Rasa hinanya diri, tika ditimpa masalah dan gundah, baru terdetik hatinya kerjakan istikharah.

Setelah tiga malam berturut-turut mengerjakan istikharah, terdetik hatinya memohon maaf kepada Aiman Rifki. Jari-jari halusnya pantas menaip.
“Assalamualaikum, en.Aiman maaf mengganggu. Saya mintak maaf dengan segala ketidakwajaran tindakan saya. Saya harap awak sudi maafkan saya..:-)” Butang hantar ditekan. Debar hatinya. Bimbang Aiman Rifki tidak memaafkannya.

Seminit, dua minit, mesej Ayu Putri tidak dibalas. Telefon bimbitnya direnung. Hatinya hampa. Namun Ayu Putri pasrah. Tiba-tiba menungannya dikejutkan dengan bunyi mesej masuk. Cepat-cepat telefon bimbitnya dicapai. Melihat nama yang tertera, jantungnya berdebar kencang.

“W’slm, busyuk kte. Awak tak buat salah apa-apalah. Lamanya awak diam kan:-)” mesej dari Aiman Rifki menguntumkan senyum Ayu Putri. Dunianya yang suram terasa bercahaya. Hati Ayu Putri terasa tenang. Harapannya agar itulah ketenangan yang Fadilah maksudkan.

Sejak dari peristiwa itu, Ayu Putri cuba menganggap Aiman Rifki hanya sebagai kawan baik walau kadang-kadang gurauan Aiman Rifki menggentarkan jantungnya. Suatu malam, ketika kenduri perkahwinan Kak Ngah, mesej Aiman Rifki sekali lagi mengundang debaran. Aiman Rifki bertanyakan tentang persandingan dan katanya, dialah pengantin lelaki itu dan Ayu Putrilah pengantin perempuannya. Tersipu-sipu Ayu Putri apabila menerima mesej tersebut. Mesej Aiman Rifki membuai-buai rasa Ayu Putri. Selayaknya pasangan bercinta sahaja bebicara tentang itu. Ayu Putri kebingungan. “Aiman Rifki, bercintakah kita?” gumam Ayu Putri perlahan. Tidurnya dengan senyum di bibir.

**********************

25 Ogos 2007, Ayu Putri bersama rombongan menghantar Kak Ngah ke rumah mertuanya di Port Dickson menginap di Eagle Range Resort. Penuh sebuah bas dengan sanak saudara dan jiran tetangga. Riuh rendah resort dengan suara kanak-kanak. Sedang asyik Ayu Putri melayan kerenah sepupu-sepupunya, tiba-tiba telefonnya berbunyi. Tertera nombor yang tidak dikenali di skrin telefonnya. Dalam tertanya-tanya, dia menjawab panggilan tersebut.

“Hello.”
“Hello. Boleh saya bercakap dengan Ayu Putri?” suara di sebelah sana menjawab.

Apabila terdengar suara pemanggilnya lelaki, serta merta Ayu Putri menjadi gugup. Belum pernah dia menerima panggilan dari mana-mana lelaki melalui talian telefon bimbitnya. Tergagap-gagap Ayu Putri menjawab, “Ya, ya..aa..Ayu Putri bercakap.”

“Saya membuat panggilan dari Public Bank, saya dapati Puan Ayu ada membuat pinjaman dengan bank sebanyak RM10 ribu tapi masih belum membuat bayaran.” Si pemanggil memulakan bicara.

Debaran tadi masih belum hilang dan sekarang tiba pula kejutan yang lain. Ayu Putri bertambah gugup. Suaranya mula bergetar. Dia rasa ingin menangis. Siapa pula yang mengkhianatinya. Dia terdiam. Setelah beberapa ketika, dia mula bersuara.

“Emm..maafkan saya, saya belum Puan. Masih Cik. Betul ke tu nama saya? Entah-entah encik tersilap. Saya tak pernah buat pinjaman dengan mana-mana bank.”

“Betul, cik Ayu Putri. Tak kan saya nak menipu cik pulak” balas si pemanggil. Jelas di pendengaran Ayu Putri, si pemanggilnya cuba menahan ketawa.

“Lagi satu, boleh cik bacakan ic saya?” Ayu Putri bertanya lagi bagi memastikan memang dia orangnya. Peluh dingin membasahi dahinya. Sepupu-sepupunya yang mula nampak perubahan wajah Ayu Putri mula mengelilingi Ayu Putri.
Kali ini giliran si pemanggil pula terdiam. Tiba-tiba Ayu Putri terdengar si pemanggil ketawa. Ayu Putri kebingungan.

“Ayu, ni Aiman Rifkilah. Tak kan Ayu tak perasan. Ayu apa khabar? Ni kat mana ni?”
Ayu Putri masih terdiam. Rasa terkejutnya belum hilang. Aiman Rifki memang nakal.

Dengan tergagap-gagap Ayu Putri menjawab, “Aiman rupanya, maafkan saya. Saya tak perasan suara awak. Awak mana pernah telefon saya. Saya sihat. Sekarang saya kat PD. Nakal ye.”

Aiman Rifki tergelak. “Ala, gurau je. Ni, Aiman nak mintak tolong Ayu belikan satu set labu sayong untuk Aiman. Aiman nak letak dalam muzium pendidikan yang syarikat Aiman buatkan. Boleh ke Ayu tolong Aiman?”

“Emm..nanti saya cuba carikan. Awak nak bila ye. Ahad ni saya balik, jadi saya akan carikan untuk awak lepas tu. Boleh kan?” Ayu Putri menjawab.

“Ok,” Aiman Rifki menjawab ringkas. Sebelum menamatkan perbualan sempat Aiman Rifki berpesan. “Jangan lupa bayar hutang RM10ribu tu. Nanti kene kejar lagi,” kata Aiman sambil ketawa.

Sebaik perbualan ditamatkan. Ayu Putri menarik nafas. Dia tersenyum. Sepupu-sepupunya yang mengelilingi tadi serentak bertanya, “Siapa yang telefon tu Kak Ayu?”

“Kawan”, Ayu Putri menjawab ringkas. Pipi kembar Wana dan Wani dicubit geram. Serentak kedua-duanya menjerit marah. Ayu Putri tergelak dan berlari masuk.

**********

“Busyuk kte, dah tidur ke? Boleh ke kte tahu berapa gaji awak ye,”. Mesej Aiman Rifki mengejutkan Ayu Putri yang sedang lena. Isinya mengundang tanda tanya di fikiran Ayu Putri.

Ayu Putri membalas, “Dah tidur tapi ada orang kacau, terus terjaga. Kenapa awak nak tahu gaji saya ye?”

“Emm..saja. Kte nak kira pendapatan isi rumah kte. Agak-agak cukup tak ye. Awak tahu, kte ada banyak impian. Salah satu impian kte adalah memiliki syarikat sendiri. Kte dah cuba banyak kali tapi kte selalu gagal. Kte nak buat bisnes dengan awak untuk masa depan kte bersama”. Aiman Rifki meluah rasa hatinya.

Ayu Putri tergamam membaca mesej Aiman Rifki. Benarkah apa yang dikata? Terasa dirinya di penting pada Aiman Rifki. Dia mula yakin Aiman Rifki tercipta untuknya. Walau hatinya berbunga riang, dan jiwanya menadah kesyukuran, mesej Aiman Rifki dibalas pendek. “InsyaAllah, mudah-mudahan Allah memberkati dan menunaikan segala impian kita.”

Sejak dari hari itu, Ayu Putri mula serius memikirkan masa depannya. Akhirnya setelah berbincang dengan Aiman Rifki, Ayu Putri membuat keputusan berhenti kerja dan menerima tawaran bekerja di salah sebuah syarikat perancang di Skudai kerana prospek kerja yang lebih baik. Semuanya adalah persediaan untuk syarikat mereka nanti. Kata Aiman Rifki, dia akan mencari pengalaman dalam bidang pembinaan manakala Ayu Putri akan menceburi bidang perancangan dan pengendalian projek. Apabila digabungkan pasti kemahiran mereka akan lebih mantap. Pada emak dan ayah, Ayu Putri pohon restu. Walaupun keberatan meninggalkan keluarga di Terengganu, namun Ayu Putri harus cekalkan hati untuk masa depan.

“Aiman Rifki, jalan panjang yang melontarkan aku ke sini adalah kehendakNya. Demi cintaku padamu dan demi impian bersama, telahku korbankan segalanya. Kupohon agar kau mengerti Aiman Rifki”.



3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. ermm...utk chapter 6, paragraph ke-4 baris ke-10 ejaan perkataan 'istikarah' sepatutnye 'istikharah' kan? kat para-6 mungkin lbh baik perkataan 'menungannya' diganti dgn perkataan 'lamunannya'...then, para-21, 'RM10ribu' patut jarakkan antara 'RM10' dan perkataan 'ribu' kan...last, dekat para-27 baris ke-2, rasenye perkataan 'di' tu xperlu kot...

    ReplyDelete
  3. okey..thanx yana..
    sgt terharu dgn sumbangan yana..

    ReplyDelete