Wednesday, April 1, 2009

SEBENING KASIH..chapter 5

“Hadirmu tanpa dipinta”

Azan maghrib berkumandang sebaik sahaja Ayu Putri tiba di rumahnya. Baru dua hari dia diterima kerja sebagai Pegawai Pembangunan Tanah di sebuah syarikat jurukur di Bandar Kuala Terengganu. Tugasnya menyedia pelan-pelan kadaster, pelan kejuruteraan dan menyelia pentadbiran pejabat. Satu pengalaman baru baginya, berbeza dengan pembelajarannya di universiti. Walaupun gajinya tak seberapa, tidak setaraf dengan kelulusan yang diperolehi namun Ayu Putri tidak kesah kerana baginya pengalaman lebih berharga.

Bertugas sebagai Pegawai Pembangunan Tanah di syarikat jurukur yang mana bidang kerjanya lebih kepada on-site survey dan engineering method memerlukan dia bergaul dengan pekerja-pekerja lelaki seramai lebih 30 orang di bawah seliaannya.

Sebaik sahaja Ayu Putri menyarungkan telekung, Nokia Butterflynya berbunyi menandakan ada mesej masuk. Ayu Putri memandang sekilas pada telefon di atas meja.

“Siapalah yang rajin menghantar mesej maghrib-maghrib begini. Tak pernah pulak terima mesej waktu-waktu macam ni,” gumam Ayu Putri perlahan.

Setahunya, kawan-kawan rapatnya sedia faham yang dia tidak suka menerima mesej atau panggilan di waktu-waktu begitu. Ayu Putri meneka-neka siapa yang menghantar mesej. Dia ingin membiarkan sahaja. Dia membuat keputusan selepas solat baru dia akan membuka mesej tersebut. Tiba-tiba terdetik di hatinya, mungkin penghantarnya dalam kecemasan dan memerlukan pertolongan Ayu Putri.

Nokia Butterfly dicapai. Tangannya menekan-nekan kekunci telefon. Tertera nama Aiman Rifki. Hairan dia dengan mesej tersebut. Tidak pernah jejaka itu menghubunginya selama hampir lima tahun belajar sekelas. Mesej tersebut dibuka, Aiman Rifki memberitahu dia telah mula bekerja sebagai Project Manager di sebuah syarikat di negerinya. Sebagai kawan, Ayu Putri tumpang gembira dan mengucapkan tahniah. Doanya agar Aiman Rifki akan terus berjaya dan cita-citanya tercapai.

Siapa sangka, mesej yang pertama itu, adalah permulaan untuk hubungan yang seterusnya. Mesej seminggu sekali menjadi semakin kerap. Pada mulanya hanya bertanya khabar. Semakin hari, Ayu Putri dan Aiman Rifki semakin rapat. Ada sahaja cerita yang dikongsi. Mereka saling bertukar cerita dan masalah. Aiman Rifkilah tempat Ayu Putri berkongsi suka duka. Dan Ayu Putrilah tempat Aiman Rifki mengadu masalah. Aiman Rifkilah lelaki pertama yang rapat dengan Ayu Putri di sepanjang kehidupan Ayu Putri selama 23 tahun. Layanan Aiman Rifki semakin hari ada kelainannya. Panggilan Ayu telah bertukar menjadi panggilan yang lebih manja. Mungkin kedengaran agak lawak namun itulah yang menguntumkan senyuman dan membuai hati Ayu Putri. Inikah yang dinamakan cinta?

Setiap malam pasti ada sahaja mesej yang mengunjungi peti masuk telefon bimbit Ayu Putri. Tiba-tiba telefon bimbit Ayu Putri berbunyi menandakan ada mesej masuk. Ayu Putri tersenyum riang. Tentu mesej dari Aiman Rifki. Namun, apabila mesej dibuka, tertera nombor yang tidak dikenali di peti masuk telefon bimbitnya. Hilang senyumnya. Mesej tersebut dibuka lambat-lambat.

“Hi, busyuk kte dah makan? Apa khabar hari ni?” mesej tersebut dibaca. Muka yang masam tadi bertukar ceria. Rupa-rupanya mesej dari Aiman Rifki. Tentu Aiman Rifki telah menukar nombor telefon.


“Ye, en. Aiman. Saya dah makan. Awak makan apa hari ni? Emm..kenapa guna nombor lain ye.” Mesej Aiman Rifki dibalas pantas. Bimbang Aiman Rifki akan merajuk jika mesejnya lewat dibalas. Sudah faham benar dia dengan perangai Aiman Rifki. Pernah dia lewat membalas mesej Aiman Rifki kerana tertidur. Jenuh dia memujuk Aiman Rifki yang merajuk kerana mesejnya lambat dibalas.

“Hari ni mummy kte masakkan sambal udang. Sedap sangat. Nanti busyuk kte boleh masakkan untuk kte kan. Emm..ni nombor baru kte, khas untuk busyuk kte” mesej Aiman Rifki lagi.

Ayu Putri tersenyum membaca mesej Aiman Rifki. Benarkah apa yang Aiman Rifki maksudkan? Hatinya berbunga riang walaupun mereka hanya berhubung pada waktu malam sahaja. Ayu Putri merasakan hubungan dia dengan Aiman Rifki ada kelainannya. Seandainya Aiman Rifki dicipta untuknya, dia terima ketentuan itu dengan redha.

_______ *****_______

Pertama kali berjumpa selepas sekian lama berhubung melalui telefon menggentarkan hati Ayu Putri. Lidahnya kelu apabila Aiman Rifki tiba di meja mereka berkumpul. Malam itu, Ayu Putri memakai skirt labuh hitam dipadankan dengan blaus hitam bermanik. Dia kelihatan anggun. Sesekali Aiman Rifki menjeling Ayu Putri. Ayu Putri cuba mengawal diri. Sejuk tangannya. Ayu Putri yang sememangnya pemalu, diam membisu. Mujurlah kawan-kawan mereka yang sedang rancak berbual tidak menyedari tingkah Ayu Putri dan Aiman Rifki. Seronok mereka bercerita pengalaman masing-masing yang mula bekerja.

Majlis Konvokesyen inilah peluang untuk mereka berkumpul setelah semuanya membawa haluan masing-masing selepas habis belajar. Terasa hilang penat setelah lebih empat tahun bergelumang dengan buku-buku, kerja kursus, pelan-pelan, design, drawing dan segala macam masalah di universiti apabila dapat menggengam segulung ijazah. Gembira melihat wajah emak dan ayah tersenyum bangga anaknya melangkah ke atas pentas menerima ijazah.

“Busyuk kte, kte balik dulu ye. Tak seronoklah tak dapat tangkap gambar dengan awak. Awak pergi mana? awak menyorok dari kte ye. Kte pasti merindui awak.” Mesej dari Aiman Rifki lewat petang itu mengunjungi peti masuk telefon bimbit Ayu Putri.

Muka Ayu Putri merona merah. Mesej Aiman Rifki dibals, “Saya tak ke mana-mana. Ada je kat situ. Awak je yang tak nampak saya. Ok, jaga diri ye.” Kata-kata rindu lelaki itu tidak dibalas. Walau memang dia teringin mengatakan betapa dia merindui lelaki itu. Biarlah dia simpan kemas-kemas dalam hatinya. Suatu hari nanti bila tiba masa dan ketikanya, akan dia ucapkan juga pada lelaki itu.

_________________*****_________________

Berita yang diterima dari Syahirah, teman baiknya di universiti dulu sungguh mengejutkannya. Dalam debaran dan rasa hati yang tak menentu pesanan dari laman Friendster itu dibaca perlahan.

Cik Putriku sayang,
Saya menyayangi awak seperti saya menyayangi diri sendiri. Apa yang saya tahu, Aiman dah ada teman istimewa. Teman wanita dia masih belajar di salah sebuah universiti di utara. Saya harap awak tak marah dengan apa yang saya cakap. Mungkin awak perlu berhati-hati tapi tak salah kalau awak memberi dia peluang. Mungkin dia betul-betul serius. Apa-apa pun janganlah terlalu mengharap. Dan walau apa pun terjadi, I always be beside you. Salam sayang..

Your Princess

Ayu Putri terkedu. Rasa bersalah pada seorang perempuan menyelebungi diri Ayu Putri. Nafasnya dihela perlahan. Sesak dadanya. Matanya mula terasa panas. Air matanya menitis. Hati Ayu Putri yang lembut terasa pilu. Wajarkah dia melayan seorang lelaki yang bukan haknya? Bukan salah Aiman Rifki tapi salahnya. Salahnya kerana menyimpan harap. Salahnya kerana melayan lelaki itu lebih-lebih. Salahnya kerana memberi tindak balas dan membuka ruang untuk Aiman Rifki melakukan kesilapan.

Hubungan cinta adalah pertunangan antara dua hati. Secara logiknya sudah pasti telah ada perjanjian antara hati mereka. Tergamakkah Ayu Putri menjadi penghalang perjanjian dua hati? Kesian perempuan itu, pasti hatinya terluka.

Malam itu, mesej Aiman Rifki tidak dibalas. Dia lebih senang berdialog dengan Tuhannya. Biarlah Aiman Rifki merajuk. Dia tidak selayaknya melayan rajuk Aiman Rifki. Biarlah Aiman Rifki mengatanya macam-macam. Dia lebih rela dari melukai hati perempuan lain kerana dia juga seorang perempuan.

“Aiman Rifki, maafkan Ayu. Tidak terniat untuk melukai. Tetapi Ayu tak biasa begini, Aiman. Ayu tak biasa ada teman rapat lelaki. Ayu hanya ada kawan rapat perempuan. Ayu takut akan wujud penyakit hati antara kita. Maafkan Ayu, Aiman. Mungkin pada Aiman, Ayu kolot tapi itulah Ayu." Ayu Putri bermonolog.

Kepada Tuhan, dia mengadu. Menginsafi segala keterlanjurannya. Sudikah Tuhan menerima taubatnya? Basah sejadah dengan hamburan air mata Ayu Putri di pertiga malam itu. Sayu hatinya mengalunkan bacaan Yassin. Doanya panjang.

“Tuhanku, sudikah kau terima taubat hambaMu yang hina ini. Ya Allah, ampunilah hambaMu ini. Tiada daya upaya melainkan ketentuanMu. PadaMu aku berserah, Ya Allah. Seandainya dia untuk ku, aku rela menjadi miliknya. Tapi seandainya dia bukan untuk ku, redhalah aku dengan ketentuanMu. Ya Allah, ampunilah hambaMu yang lemah ini. Tidak terniat untuk ku melukai hati insan lain.”

“Aiman Rifki, hadirmu tak kupinta, kejutkanlah ku dari mimpi ini.”

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. hmm, paragraph 1 dlm chapter 5 ni baris ke-2 perkataan 'kerja' mungkin lbh sedap didengar jika diganti dgn perkataan 'bekerja' dan perkataan 'kesah' dlm perenggan yg sama patut diganti dgn perkataan 'kisah'...dlm perenggan ke-7, frasa "di sepanjang" mungkin lbh baik jika perkataan 'di' dibuang menjadi "sepanjang" sahaja...perenggan ke-14 plk, perkataan 'menggengam' sepatutnye dieja 'menggenggam'...dlm perenggan ke-27, rasenye perkataan 'kesian' perlu diganti dgn perkataan 'kasihan' spy lbh enak didgr...& last utk perenggan ke-30, frasa "di pertiga malam" rasenye elok diganti dgn frasa "di sepertiga malam"...

    ReplyDelete
  3. thanks, yana..
    byknyer silapkn..hikhik

    ReplyDelete