Saturday, March 28, 2009

SEBENING KASIH..chapter 4

“Persahabatan ini selamanya bermakna”

Tangga di Perpustakaan Sultanah Zanariah, dituruni satu persatu. Sebelum keluar dari perpustakaan tadi, Ayu Putri bertembung dengan jejaka Sarawak kelasnya. Dari jauh jejaka itu mengukir senyuman. Senyuman jejaka itu dibalas, pantas kakinya melangkah ke arah jejaka tersebut.

“Alik, awak apa khabar? Lama ye awak ke Sarawak.” sapa Ayu Putri.
Alik tersenyum mesra. “Aku baik sahaja. Kamu bagaimana?” ucap Alik dalam lograt negerinya.
“Macam yang awak nampak. Emm..ada ole-ole untuk saya? Ika awak bagi, saya tak bagi pun. Pilih kasih, ye.” Ayu Putri menarik muka masam. Pura-pura merajuk. Dia memang suka mengusik Alik. Alik adalah antara pelajar lelaki kelasnya yang selalu bercakap dengannya selain Azam.

“Bukan..bukan begitu. Bukan aku tidak mahu bagi pada kamu. Ni aku dah simpankan untuk kamu. Aku cuma tidak mahu kawan-kawan kita fikir yang bukan-bukan tentang kita” balas Alik perlahan sambil menghulurkan keychain bertulis perkataan Sarawak kepada Ayu Putri.

Ayu Putri menerima pemberian itu dengan wajah gembira. Muka Alik dipandang. Ayu Putri mengajak Alik berbual-bual di ruang legar perpustakaan. Ada sesuatu ingin dia tanyakan pada Alik.

Sebaik sahaja melabuhkan punggung di kerusi kuning di ruang legar perpustakaan itu, Ayu Putri membuka mulut.
“Alik, kalau saya tanya sesuatu awak jangan marah ye,” Ayu Putri memulakan bicara. Wajah Alik dipandang tenang.

“Emm..tanyalah”, Alik menjawab perlahan.
“Emm..kenapa sejak akhir-akhir ini Alik macam tak nak berbual lagi dengan saya? Saya ada buat salah pada Alik ke?” Ayu Putri bertanyakan soalan yang selalu bermain di fikirannya. Dulunya mereka selalu berbual-bual di studio. Alik selalu bertanyanya tentang Islam. Cukup seronok dia bercerita tentang indahnya Islam pada jejaka yang berfahaman “free thinker” itu. Setiap lepas solat, dia berdoa agar Alik memilih Islam sebagai pegangannya. Namun sejak akhir-akhir ini, Alik seolah-oleh menjauhkan diri daripadanya.

Alik kelihatan gelisah. Matanya melilau ke kiri dan ke kanan. “Ayu, kamu tak buat salah apa-apa pada aku. Aku cuma rimas dengan kawan-kawan kita. Setiap kali ada orang nampak kita berbual-bual di studio, apabila aku pulang ke kolej, bilik aku akan dikerumuni. Semua orang berlari-lari ke bilik aku bertanya apa yang aku bualkan dengan kamu. Aku jadi rimas, Ayu.” Ucap Alik perlahan. Mukanya muram.

Ayu Putri tertunduk pilu. Terdetik di hatinya kenapa ada manusia yang tidak senang dengan keakraban mereka. Mereka tidak mengacau orang lain. Kesian Alik, dia cuma ingin tahu tentang Islam.

“Ayu, aku tidak mahu kawan-kawan kita menyalah ertikan keakraban kita. Aku tidak mahu menyusahkan kamu. Aku suka bercerita dengan kamu. Kamu seorang yang open-minded, aku bebas bercerita apa sahaja dengan kamu. Fikirku, orang seperti kamu akan pesimis kepada orang yang “free-thinker” seperti aku. Tapi aku silap. Kamu tidak merendahkan pendapat aku. Sebenarnya terlalu banyak aku ingin tahu tentang Islam tetapi aku tidak mampu, Ayu. Aku sangat menghargai kamu sebagai kawan aku. Terima kasih, Ayu.” Sedih suara Alik berkata-kata.

Ayu hampir menitiskan air mata. “Alik, abaikan apa orang cakap ye. Saya sentiasa sudi bercerita dengan Alik. Tanyalah apa sahaja saya akan cuba menjawab,” kata Ayu dalam sebak. Bibirnya diketap kuat. Cuba menahan tangis.
“Tak apalah, Ayu. Aku tidak mahu menyusahkan kamu. Aku pergi dulu Ayu. Kalau kawan-kawan kita nampak aku bersama kamu, nanti lain pulak cerita yang timbul”. Alik bingkas. Langkahnya diatur laju menuju ke pintu masuk perpustakaan. Ayu Putri memandang sayu. Dia mengeluh perlahan. Keychain pemberian Alik direnung. Air matanya yang hampir menitis diseka.

“Alik, awak tetap kawan saya. Saya sentiasa doakan awak moga suatu hari nanti, hidayah Allah akan sampai pada awak,” gumam Ayu dalam sendu.

Tangga Perpustakaan Sultanah Zanariah dituruni perlahan. Fikirannya masih teringatkan kata-kata Alik tadi. Siapalah yang tidak puas hati dengan keakraban mereka. Entah di mana silapnya, tiba-tiba dia terasa seperti badannya menggelongsor ke bawah. Bertaburan buku-bukunya. Semua yang berada di bilik belajar 24 jam memandang ke arahnya. Ada yang memandang simpati, tidak kurang juga yang tersenyum lucu. Cepat-cepat Ayu Putri bingkas bangus. Buku-bukunya dikutip. Pantas dia melangkah pulang ke kolejnya. Tidak tahu macam mana keadaan dia semasa jatuh tadi. Terasa mukanya memerah menahan malu.

Setibanya di bilik, tudung krim yang menutup kepalanya dibuka. Fatin yang sedang menatap komputer dirapati. Tanpa dipelawa, katil bercadar hijau tua itu dihenyak. Dia merenung Fatin. Fatin yang sedang tekun menyiapkan tugasan memandangnya sekilas. Jarang Fatin melihat wajah Ayu Putri begitu. Gadis itu sentiasa ceria. Fatin memusingkan badannya mengadap Ayu Putri. Pasti ada sesuatu yang mengganggu emosi teman sebiliknya itu.

“Ayu, kenapa ni? Kenapa muka tu cemberut je. Bergaduh dengan pakwe ye,” usik Fatin. Sengaja dia mengusik Ayu Putri. Sememangnya dia telah sedia faham, Ayu Putri tidak mempunyai seseorang yang istimewa. Bagi Ayu Putri, pelajaran lebih utama.
“Mana ada. Fatin ni, orang serius dia main-main pulak,” rajuk Ayu Putri.
“Ok..ok..cerita kat Fatin. Fatin tak main-main dah. Janji,” ucap Fatin sambil mengangkat tangannya seperti berikrar.

Tiba-tiba pintu bilik mereka dikuak. Aida menjengukkan kepalanya. “Fatin, tadi kata nak pergi arked. Nak makan tengah hari. Tak bersiap lagi ke?” ucap Aida sambil melangkah ke dalam bilik. Kerusi di meja Ayu Putri ditarik. “Ayu, jom ikut kami makan kat arked,” tambah Aida. Ayu menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum nipis. Peristiwa jatuh tangga tadi mematikan seleranya.

“Kejaplah Aida. Kawan kita ni tengah ada masalah. Ok, Ayu. Ceritalah apa masalahnya,” kata Fatin sambil bangun mencapai t-shirt lengan panjang berwarna khakis yang tersangkut di dalam almari bajunya.

“Sebenarnya, saya tengah sedih ni. Sesuatu telah terjadi pada saya tadi. Saya pun tak sangka benda ni akan jadi pada saya. Malu sangat. Tak tahu nak letak kat mana muka ni. Tak nak ke PSZ lagi lepas ni,” ucap Ayu Putri perlahan.

Fatin merapati Ayu Putri. Muka Ayu direnung hairan. Tangan Ayu dipegang. “Ayu, kenapa ni? Ceritalah kat kami.”

Ayu Putri tunduk memandang lantai. “Sebenarnya, masa saya nak balik tadi. Saya terjatuh kat tangga PSZ. Dari anak tangga paling atas, tergolek sampai ke bawah. Sakit tau. Semua orang kat dalam bilik belajar 24 jam pandang saya. Siap ada yang gelak lagi. Tak tahu nak letak muka ni kat mana.” Selesai sahaja bercerita, Ayu menyembamkan mukanya ke bantal Fatin.

Fatin dan Aida tergamam. Mereka saling memandang. Serentak kedua-duanya ketawa berdekah-dekah di atas lantai bilik itu. Ayu Putri bingkas bangun. Bulat matanya memandang kedua-dua rakannya yang sedang ketawa. Tiba-tiba ketawanya turut pecah. Mereka sama-sama ketawa. Hilang rasa sedih Ayu. Ayu menanam tekad baju kurung krim berbunga kuning itu akan dihantar pulang ke kampung. Tidak mahu lagi memakai baju kurung yang dipakainya semasa terjatuh di tangga PSZ.
____________________________ ******____________________________

“Impian itu semakin hampir dalam gengaman”

Hampir lima tahun di bumi UTM, Skudai terlalu banyak kenangan Ayu Putri bersama rakan-rakannya. Di sini segalanya bermula. Dan di sini juga segalanya akan berakhir. Tidak lama lagi mereka akan mengikut haluan masing-masing.

Mereka pasti tak akan dapat lagi menikmati keenakan nasi putih dan telur dadar bersama sup kosong di Central Point apabila pinjaman atau biasiswa belum masuk. Pernah suatu hari mereka seramai lima orang menempah 5 biji telur dadar sehingga tukang masak kafe mengatakan telur telah habis kerana tidak larat memasak terlalu banyak telur dadar. Mereka sudah pasti tidak dapat lagi merasai kerangupan pisang goreng dan keenakan nasi kerabu bazaar ramadhan di perkarangan tempat letak kereta B11. Balai Cerap sudah pasti tidak lagi dikunjungi dan didaki. Monyet-monyet di sepanjang jalan ke Balai Cerap tidak akan lari berkeliaran lagi apabila ditakutkan oleh mereka. Yang pasti Blok B11, Fakulti Alam Bina tidak akan riuh lagi dengan gurau senda dan nyanyian sumbang mereka. Tempat letak kereta B11 itu juga tidak akan dapat menyaksikan gadis lincah itu bermain kejar-kejar di waktu malam.

Hari terkahir di bumi UTM itu, tidak banyak yang diperkatakan. Semua sibuk menyiapkan kertas projek untuk dinilai. Tiada ucapan selamat tinggal. Masing-masing tergesa-gesa ingin pulang. Ada yang telah mendapat kerja dan perlu bertugas secepat mungin. Syukur, begitu murah mereka.

“UTM, bumi barakahmu kami tinggalkan. Moga makin ramai cendikiawan yang kau lahirkan. Hari ini bumimu kami tinggalkan, esok kami pasti akan datang. Segulung ijazah kami bawa pulang.”




2 comments:

  1. ok...utk chapter 4 ni, perenggan ke-2 perkataan 'lograt' sepatutnye dieja 'loghat'...perenggan ke-12 ejaan 'bangun' jadi 'bangus'...dan last utk perenggan ke-2 drp bwh, murah rezeki kan?

    ReplyDelete