Tuesday, March 24, 2009

SEBENING KASIH..chapter 2

“Kalian pelengkap hidupku”

Ketukan di pintu dibiarkan saja. Ayu tersenyum memandang Fatin yang tidur lena. Sengaja dibiarkan tetamu itu mengetuk pintu, malas dia ingin bangun membuka pintu. Tetamu itu bukan tidak biasa ke biliknya. Perkenalan yang singkat itu telah menitipkan bibit-bibit mesra antara dia dengan rakan-rakan perempuan sekuliahnya.

Selepas ketukan yang ketiga, barulah Ayu Putri bangun membuka pintu. Mukanya sengaja dimasamkan.

“Assalamualaikum, Cik Ayu. Dah naik kematu tangan ni ketuk pintu, baru nak buka. Mana Fatin? Tidurlah tu minah tu,” ucap Ija sambil melangkah masuk ke dalam bilik yang dihuni oleh Ayu dan Fatin.
“Ala, Ja. Macam tak biasa. Hari ni kenapa sopan? Selalu, main redah je kan,” ucap Ayu sambil tertawa.
“Duduklah.” Ayu mempelawa.

Ija menarik kerusi yang terletak di meja komputer lalu duduk. Tangannya membelek-belek helaian kertas yang berselerakan di atas meja. Matanya memandang Ayu Putri yang terbaring kepenatan di katil bercadar merah jambu. Baru sahaja mempelawa dia duduk, dia sudah tertidur. Mungkin Ayu terlalu mengantuk setelah semalaman tidak tidur menyiapkan tugasan studio. Tangan Ayu Putri dikuis. Ayu Putri yang tengah mamai itu menepis lembut.

“Ayu, bangunlah. Ada sesuatu yang Ija nak tanya kat Ayu ni. Bangunlah Ayu.” Ija mengoyang-goyang tubuh kecil Ayu.
“Ija, saya ngantuklah. Boleh Ija bagi saya lima minit? Lima minit je, ok. Nanti Ija tanya ye,” balas Ayu Putri perlahan.

“Baiklah, kalau Ayu tak nak bangun tak apalah. Cuma satu je Ija nak tanya Ayu. Barang dah kemas belum? Puan Noraini cakap, pukul 3.00 kita mesti berkumpul kat tempat letak kereta Central Point,” ucap Ija sambil menarik tangan Ayu.
Sebaik sahaja terdengar nama Puan Noraini, pantas Ayu dan Fatin bingkas bangun. Nama itu seolah-olah mempunyai kuasa yang boleh membangunkan mereka, menyegarkan mata yang kantuk. Tergelak Ija melihat muka kedua-dua rakannya yang terkejut.

“Ija, kenapa tak cakap awal-awal?” jerit Ayu Putri dan Fatin serentak.
“Manalah Ija tahu, ingatkan kamu berdua dah bersiap. Nasib baik Ija datang. Kalau tak kamu mesti dapat nama baru,” balas Ija. Ketawanya semakin kuat.

“Fatin, jom bersiap. Nanti tak pasal-pasal kita dapat nama Minah Satu dan Minah Dua,” ucap Ayu Putri. Tangannya pantas mencapai beg pakaian. Pakaian yang bersangkut di dalam almari dicapai satu persatu.

Fatin turut bingkas dari katilnya. Tangannya mencapai bantal kecil lalu dibaling geram ke arah Ija yang masih ketawa. Ija cuba mengelak dan pintu bilik ditutup. Dia berlalu ke biliknya dengan ketawa yang masih bersisa.

Tergesa-gesa Ayu Putri dan Fatin mengemas barang untuk perkhemahan di Desaru. Jam menunjukkan pukul 2.15 petang. Bermakna mereka masih ada 45 minit lagi untuk berkumpul di Central Point. Mereka perlu bertolak sekarang memandangkan Kolej Tun Razak terletak agak jauh dari Central Point walaupun kedudukannya masih dalam lingkaran dalam. Tambahan pula mereka terpaksa membawa beg pakaian yang berat. Entah berapa kilo beratnya.

Setelah bersiap-siap, Ayu Putri dan Fara berjalan beriringan ke Central Point. Sambil berjalan mereka berbual mesra. Sesekali Ayu Putri ketawa kecil.

2 comments:

  1. ok, utk chapter 2 pun ade skit nk check...perenggan ke-5 'mengoyang-goyangkan' sepatutnye 'menggoyang-goyangkan' btl x? perenggan akhir skali lg 'fatin' jd 'fara'...

    ReplyDelete