Monday, December 27, 2010

SEBENING KASIH 1...chapter 17

“Syawal, seindah cahayamu yang mendamaikan”

Syawal datang lagi. Hadirnya sebagai tanda kemenangan bagi umat Islam dapat menyempurnakan Rukun Islam ketiga dengan penuh kesabaran. Bagi Ayu Putri, hadirnya Syawal kali ini sebagai tanda kejayaan peribadinya dapat menyempurnakan azamnya untuk tidak berhubung lagi dengan Aiman Rifki. Masih dia teringat peristiwa pahit Syawal yang lalu bagaimana maruahnya direndahkan. Kasih sayangnya dipermainkan. Masih terngiang-ngiang di telinganya kata-kata Aiman Rifki seawal pagi Syawal tahun lalu. Demi Allah dia tidak pernah melupakan, kehadirannya mengunjungi jejaka itu tidak dialu-alukan. Sungguh dia rasa terhina. Sejak dari hari itu, dia berjanji tidak akan merayu dan memohon lagi.

Sebening pagi Syawal 1430 hijrah, Ayu Putri cuba menerima kehadiran Aliff Firdaus. Cuba memupuk rasa cinta di hatinya walau dia masih ragu-ragu. Ikhlaskah Aliff Firdaus dengan dirinya atau dia sekadar persinggahan?

***********

Mesej daripada Aliff Firdaus petang Syawal keempat itu, mengejutkan Ayu Putri. “Biar betul mamat ni. Baru je dua minggu kenal dah nak datang rumah. Agaknya dia main-main je. Tak mungkin dia serius. Ada lagi ke lelaki macam ni sekarang? Tak apalah bagi je pandu arah pada dia. Rumah jauh, mesti tak datang punya” Ayu Putri bermonolog sendiri.

Ayu Putri tersenyum. Rumahnya jauh dari Bandar Marang. Tak mungkin Aliff Firdaus sanggup ke rumahnya. Lagipun dia orang kampung. Walaupun dia tidak yakin Aliff Firdaus akan datang ke rumahnya, dia tetap mengkhabarkan kepada emaknya. Bimbang emaknya akan terkejut kalau betul-betul Aliff Firdaus datang ke rumahnya. Sebelum ini tidak pernah ada lelaki datang ke rumahnya seorang diri. Kalau ada pun mesti rakan-rakan pejabatnya. Mereka akan datang secara berkumpulan.

Ayam masak lemak cili padi telah emak sediakan. Ayu Puteri mengenakan baju kurung cotton berbunga kecil ungu dan bertanah putih susu. Ayu Puteri betul-betul seperti gadis kampung. Emak di belakang rumah sibuk dengan hobinya menanam kacang dan terung. Azan Asar telah berkumandang. Ayu Puteri bergegas ke bilik air mengambil wudhu. Dia mula yakin Aliff Firdaus tidak akan datang ke rumahnya. Namun debarannya masih terasa. Dia segera menunaikan solat Asar petang 5 Syawal itu. Seusai solat dan berdoa, telefonnya berkelip. Ada 1 mesej masuk.
“Ayu, cuba teka Alip kat mana?”

Jantung Ayu puteri mula berdebar kencang. Cepat-cepat telekungnya dilipat. Tudung ungu dicapai dan dia menjenguk keluar. Jejaka itu tersenyum berdiri di sebelah viva hitamnya. Ayu Puteri terkesima.

2 comments:

  1. ermm tade smbungan ke

    ReplyDelete
  2. insyaAllah akan ade sambungan..cuma skrg agak busy..draft dh ade cuma dh lm xkemaskini..thanks kerana membaca..

    ReplyDelete