Saturday, April 11, 2009

SEBENING KASIH..chapter 7

“Haruskah kesabaranku diuji”

30 Ogos 2007, hari terakhir Ayu Putri bertugas di syarikat jurukur. Hari itu juga dia hari terakhir dia berada di Terengganu. Esoknya dia akan bertolak ke Johor Bahru. Barang-barangnya telah dikemas. Hatinya telah ditanamn dengan azam yang kukuh untuk mencapai impian dan cita-citanya.

Tidurnya malam itu sekali lagi diganggu dengan bunyi mesej masuk. Dengan malas dia mencapai telefon bimbitnya, tertera nama Aiman Rifki. Terkejut dia membaca mesej dari Aiman Rifki. Benarkah apa yang dia baca? Mesej yang diterima dibaca berulang kali. Kata Aiman Rifki, dia telah putus dengan teman wanitanya. Perasaan kesian timbul di hatinya. Namun terdetik rasa tidak senang di hatinya. Berguraukah Aiman Rifki dengan dia selama ini? Dia keliru sendiri. Cepat-cepat dia yakinkan dirinya dia cuma kawan. Doanya moga bukan dia penyebabnya.

Hari pertama melangkah ke bangunan rumah kedai dua tingkat di hadapan masjid itu Sri Skudai memberikan Ayu Putri semangat baru. Soal Aiman Rifki dibuang jauh-jauh. Tekadnya untuk bekerja bersungguh-sungguh dan menyambung pengajian ke peringkat sarjana. Dia akan bekerja sambil belajar apabila duit simpanannya sudah cukup nanti. Kakinya melangkah satu persatu anak tangga menuju ke tingkat dua. Hatinya berdebar-debar. Bagaimanakah penerimaan bos dan rakan-rakan barunya nanti.

Loceng pintu utama ditekan. Seketika kemudian, muncul seorang pekerja perempuan membuka pintu. Ayu Putri meleparkan senyuman pada wanita berbaju kurung berbunga merah itu. Tangan wanita itu disalami.
“Nama akak Nor Beattey, boleh panggil Kak Betty,” wanita hitam manis itu memperkenalkan diri dengan ramah. Keramahan Kak Betty membuatkan Ayu Putri selesa.
“Nama saya Ayu Putri. Akak boleh panggil saya Ayu je,” balas Ayu Putri sambil tersenyum.
Suara Ayu Putri yang gemersik dan tingkahnya yang lemah lembut memikat hati Betty. Gadis manis itu direnung. Ayu Putri nampak manis dengan baju kurung berwarna krim. Cara duduknya sopan sekali. “Siapakah lelaki bertuah yang memilikimu, dik?” Gumam Betty.

Ayu Putri diberi sedikit penerangan ringkas tentang syarikat dan projek-projek yang sedang dijalankan. Sekarang mereka sedang menyiapkan satu kajian Rancangan Tempatan Daerah Port Dickson dan mereka merupakan pakar runding utama bagi kajian ini. Sudah pasti banyak kerja yang perlu dikendalikan. Kadang-kadang mereka perlu bekerja sampai larut malam untuk menyiapkan satu-satu laporan.

Ayu Putri telah sedia maklum, kajian pelan pembangunan ini akan menghasilkan tiga jenis laporan secara berperingkat mengikut persetujuan Jawatankuasa Teknikal. Laporan-laporan ini bermula dengan Laporan Awal, Laporan Penemuan dan Rekabentuk dan Laporan Draf Akhir. Penyediaan Pelan Pembangunan ini memerlukan komitmen yang tinggi dan idea-idea yang rasional serta menarik bagi mengahasilkan pelan yang boleh dijadikan rujukan perancangan oleh klien dalam melaksanakan pembangunan.

Ayu Putri dibawa melawat seluruh ruang pejabat. Ruang tingkat atas kedai dua tingkat itu telah diubahsuai dan dipecahkan kepada lima ruang. Ayu Putri lebih menyukai ruang yang menempatkan pelbagai jenis laporan dan rujukan. Dindingnya dicat dengan warna hijau epal, warna kegemaran Ayu Putri. Ayu Putri diperkenalkan dengan tiga pekerja lain. Lan, Azu dan K.Fara. Mereka kelihatan ramah dan cepat mesra.

Sudah seminggu Ayu Putri bekerja di syarikat perancang di Skudai. Dia telah mula menyesuaikan diri dengan waktu kerja yang tidak menentu. Dua hari lagi mereka perlu menyiapkan laporan penemuan untuk dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal. Kelam kabut mereka menyiapkan laporan tersebut. Disebabkan kesuntukan masa, mereka diarahkan bekerja lebih masa. Ini kali pertama Ayu Putri bekerja sehingga malam selepas dia tamat belajar.

Sejak pagi dia mengadap laptop di depannya. Dia hanya berehat untuk solat dan menjamah sedikit makanan. Matanya mula terasa pedih dan badanya lenguh-lenguh. Kepalanya dipusing ke kiri dank e kanan untuk menghilangkan penat. Kepalanya direbahkan ke meja. Matanya dipejam perlahan-lahan. Razlan, seniornya di universiti berada di sebelahnya tidak dihiraukan.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Dengan malas telefon bimbit itu dicapai. Tertera nama Aiman Rifki. Hatinya berdebar-debar. Jantungnya berdegup kencang. Butang jawab ditekan. Terdengar suara memberi salam di sebelah sana. Lidahnya masih kelu. Dalam gementar, salam Aiman Rifki dijawab perlahan. Panjang lebar Aiman Rifki bercakap hanya sepatah dijawabnya. Dia masih tergamam. Beberapa ketika, panggilan ditamatkan. Mungkin Aiman Rifki perasan kegugupan Ayu Putri. Ayu Putri masih merenung telefon bimbitnya. Dia masih terkejut.

Tiba-tiba menungan Ayu Putri dikejutkan dengan bunyi mesej masuk. Aiman Rifki tidak sudah-sudah mengganggunya. Mesej dari Aiman Rifki dibaca perlahan. Tangannya menggelentar. “Awak malu dengan kte ye. Suara awak tadi macam segan je kan tapi kte suka. Mesti muka awak merah kan:-)”. Ayu Putri tersenyum. Mesej Aiman Rifki dijawab ringkas, “mana ada. Saya tengah kerjalah. Lain kali kte borak ye. Lagipun bos saya ada tadi.”

Sejak dari hari itu, Aiman Rifki makin kerap menghubungi Ayu Putri. Setiap hari pasti ada sahaja mesej yang mengunjungi peti masuk telefonnya. Ke mana sahaja Aiman Rifki pergi, pasti dia memberitahu Ayu Putri. Ayu Putri jadi rimas. Mesej Aiman Rifki jarang dibalasnya. Dia cuba menjaga hubungannya dengan Aiman Rifki. Dia takut mereka terlalu rapat.
“Aiman Rifki, cukuplah memberi harapan pada Ayu. Ayu terseksa dan keliru. Ayu bukan persinggahan. Tolonglah, Aiman. Kesianilah Ayu,” Ayu Putri merintih sendiri. Pada siapa harus dia ceritakan keresahan hatinya.

Namun Aiman Rifki tidak pernah putus asa. Jika tidak dapat menghubungi Ayu Putri melalui telefon, dia akan menghantar email. Satu mesej yang melembutkan sedikit hati Ayu Putri, yang membuatkan Ayu Putri mula berfikir keikhlasan Aiman Rifki.

“Di suatu malam yang dingin, dengan hembusan angin sepoi bahasa, tiada sekelumit pun bintang, aku duduk berdikir moga aku dan temanku bisa bergembira bersama dan kekal selamanya.”

Terharu Ayu Putri dengan kata-kata itu, ada maksud tersirat di situ. Pantas tangan Ayu Putri menaip mesej, “Duhai bayu, sampaikan salamku buat temanku. Bisikkan padanya kalimah ilmu agar dia bijaksana, dodoikan dia dengan bicara lembutmu agar dia tenang selalu.”

Saturday, April 4, 2009

SEBENING KASIH..chapter 6

“Hidup ini suatu perjalanan yang panjang”

Sudah 2 minggu berlalu. Mesej-mesej dari Aiman Rifki dipandang sepi. Hati Ayu Putri gelisah. Bimbang Aiman Rifki berkecil hati. Dia jadi keliru. Kepada teman baiknya, Fadilah seorang pelajar Senibina Landskap dia mengadu segala gundahnya. Dengan Fadilah, dia rasa lebih dekat dengan Tuhan. Fadilah, gadis manis bertudung labuh sering menasihatinya dengan penuh kelembutan. Mereka sering bertukar cerita dan rahsia. Sebenarnya Fadilah adalah kawan sekelas rakan sebiliknya. Entah macam mana mereka menjadi teman rapat yang saling menasihati dan mengasihi kerana Allah.


“Ukhti, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui. Selamilah hatimu. Hati akan tenang jika kita melakukan yang hak dan hati akan gundah jika melakukan bukan pada haknya. Dirikanlah istikharah. Minta PetunjukNya dan yakinlah dengan petunjukNya.”

Pesanan ringkas dari Fadilah petang itu cukup mendamaikan dan memberi Ayu Putri satu penyelesaian bagi masalahnya. Terasa kerdilnya diri berbanding teman yang dikasihinya itu. Mengapa selama ini dia alpa dengan satu kuasa yang Maha Agung?

Dengan rasa kehambaan, tika semua insan lena diulit mimpi indah, bangkitlah seorang gadis cuba melawan kantuk yang menyerang. Dingin air paip menyegarkannya. Lantas telekung dicapai. Khusyuk dia mengabdikan diri pada Tuhannya. Memohon keampunan, merintih dan merayu, mengadu segala gundahnya. Kepada Allah Ayu Putri pohon petunjuk agar diberi ketenangan. Moga tiap keputusannya dipandu Tuhan. Teringat dia dengan pesanan ustaznya semasa di SMAP Kajang dahulu. Sebagai seorang hamba, istikarah patut dilakukan setiap malam kerana setiap hari kita membuat keputusan. Walau pun bukan wajib hukumnya tapi satu amalan yang disukai Allah. Rasa hinanya diri, tika ditimpa masalah dan gundah, baru terdetik hatinya kerjakan istikharah.

Setelah tiga malam berturut-turut mengerjakan istikharah, terdetik hatinya memohon maaf kepada Aiman Rifki. Jari-jari halusnya pantas menaip.
“Assalamualaikum, en.Aiman maaf mengganggu. Saya mintak maaf dengan segala ketidakwajaran tindakan saya. Saya harap awak sudi maafkan saya..:-)” Butang hantar ditekan. Debar hatinya. Bimbang Aiman Rifki tidak memaafkannya.

Seminit, dua minit, mesej Ayu Putri tidak dibalas. Telefon bimbitnya direnung. Hatinya hampa. Namun Ayu Putri pasrah. Tiba-tiba menungannya dikejutkan dengan bunyi mesej masuk. Cepat-cepat telefon bimbitnya dicapai. Melihat nama yang tertera, jantungnya berdebar kencang.

“W’slm, busyuk kte. Awak tak buat salah apa-apalah. Lamanya awak diam kan:-)” mesej dari Aiman Rifki menguntumkan senyum Ayu Putri. Dunianya yang suram terasa bercahaya. Hati Ayu Putri terasa tenang. Harapannya agar itulah ketenangan yang Fadilah maksudkan.

Sejak dari peristiwa itu, Ayu Putri cuba menganggap Aiman Rifki hanya sebagai kawan baik walau kadang-kadang gurauan Aiman Rifki menggentarkan jantungnya. Suatu malam, ketika kenduri perkahwinan Kak Ngah, mesej Aiman Rifki sekali lagi mengundang debaran. Aiman Rifki bertanyakan tentang persandingan dan katanya, dialah pengantin lelaki itu dan Ayu Putrilah pengantin perempuannya. Tersipu-sipu Ayu Putri apabila menerima mesej tersebut. Mesej Aiman Rifki membuai-buai rasa Ayu Putri. Selayaknya pasangan bercinta sahaja bebicara tentang itu. Ayu Putri kebingungan. “Aiman Rifki, bercintakah kita?” gumam Ayu Putri perlahan. Tidurnya dengan senyum di bibir.

**********************

25 Ogos 2007, Ayu Putri bersama rombongan menghantar Kak Ngah ke rumah mertuanya di Port Dickson menginap di Eagle Range Resort. Penuh sebuah bas dengan sanak saudara dan jiran tetangga. Riuh rendah resort dengan suara kanak-kanak. Sedang asyik Ayu Putri melayan kerenah sepupu-sepupunya, tiba-tiba telefonnya berbunyi. Tertera nombor yang tidak dikenali di skrin telefonnya. Dalam tertanya-tanya, dia menjawab panggilan tersebut.

“Hello.”
“Hello. Boleh saya bercakap dengan Ayu Putri?” suara di sebelah sana menjawab.

Apabila terdengar suara pemanggilnya lelaki, serta merta Ayu Putri menjadi gugup. Belum pernah dia menerima panggilan dari mana-mana lelaki melalui talian telefon bimbitnya. Tergagap-gagap Ayu Putri menjawab, “Ya, ya..aa..Ayu Putri bercakap.”

“Saya membuat panggilan dari Public Bank, saya dapati Puan Ayu ada membuat pinjaman dengan bank sebanyak RM10 ribu tapi masih belum membuat bayaran.” Si pemanggil memulakan bicara.

Debaran tadi masih belum hilang dan sekarang tiba pula kejutan yang lain. Ayu Putri bertambah gugup. Suaranya mula bergetar. Dia rasa ingin menangis. Siapa pula yang mengkhianatinya. Dia terdiam. Setelah beberapa ketika, dia mula bersuara.

“Emm..maafkan saya, saya belum Puan. Masih Cik. Betul ke tu nama saya? Entah-entah encik tersilap. Saya tak pernah buat pinjaman dengan mana-mana bank.”

“Betul, cik Ayu Putri. Tak kan saya nak menipu cik pulak” balas si pemanggil. Jelas di pendengaran Ayu Putri, si pemanggilnya cuba menahan ketawa.

“Lagi satu, boleh cik bacakan ic saya?” Ayu Putri bertanya lagi bagi memastikan memang dia orangnya. Peluh dingin membasahi dahinya. Sepupu-sepupunya yang mula nampak perubahan wajah Ayu Putri mula mengelilingi Ayu Putri.
Kali ini giliran si pemanggil pula terdiam. Tiba-tiba Ayu Putri terdengar si pemanggil ketawa. Ayu Putri kebingungan.

“Ayu, ni Aiman Rifkilah. Tak kan Ayu tak perasan. Ayu apa khabar? Ni kat mana ni?”
Ayu Putri masih terdiam. Rasa terkejutnya belum hilang. Aiman Rifki memang nakal.

Dengan tergagap-gagap Ayu Putri menjawab, “Aiman rupanya, maafkan saya. Saya tak perasan suara awak. Awak mana pernah telefon saya. Saya sihat. Sekarang saya kat PD. Nakal ye.”

Aiman Rifki tergelak. “Ala, gurau je. Ni, Aiman nak mintak tolong Ayu belikan satu set labu sayong untuk Aiman. Aiman nak letak dalam muzium pendidikan yang syarikat Aiman buatkan. Boleh ke Ayu tolong Aiman?”

“Emm..nanti saya cuba carikan. Awak nak bila ye. Ahad ni saya balik, jadi saya akan carikan untuk awak lepas tu. Boleh kan?” Ayu Putri menjawab.

“Ok,” Aiman Rifki menjawab ringkas. Sebelum menamatkan perbualan sempat Aiman Rifki berpesan. “Jangan lupa bayar hutang RM10ribu tu. Nanti kene kejar lagi,” kata Aiman sambil ketawa.

Sebaik perbualan ditamatkan. Ayu Putri menarik nafas. Dia tersenyum. Sepupu-sepupunya yang mengelilingi tadi serentak bertanya, “Siapa yang telefon tu Kak Ayu?”

“Kawan”, Ayu Putri menjawab ringkas. Pipi kembar Wana dan Wani dicubit geram. Serentak kedua-duanya menjerit marah. Ayu Putri tergelak dan berlari masuk.

**********

“Busyuk kte, dah tidur ke? Boleh ke kte tahu berapa gaji awak ye,”. Mesej Aiman Rifki mengejutkan Ayu Putri yang sedang lena. Isinya mengundang tanda tanya di fikiran Ayu Putri.

Ayu Putri membalas, “Dah tidur tapi ada orang kacau, terus terjaga. Kenapa awak nak tahu gaji saya ye?”

“Emm..saja. Kte nak kira pendapatan isi rumah kte. Agak-agak cukup tak ye. Awak tahu, kte ada banyak impian. Salah satu impian kte adalah memiliki syarikat sendiri. Kte dah cuba banyak kali tapi kte selalu gagal. Kte nak buat bisnes dengan awak untuk masa depan kte bersama”. Aiman Rifki meluah rasa hatinya.

Ayu Putri tergamam membaca mesej Aiman Rifki. Benarkah apa yang dikata? Terasa dirinya di penting pada Aiman Rifki. Dia mula yakin Aiman Rifki tercipta untuknya. Walau hatinya berbunga riang, dan jiwanya menadah kesyukuran, mesej Aiman Rifki dibalas pendek. “InsyaAllah, mudah-mudahan Allah memberkati dan menunaikan segala impian kita.”

Sejak dari hari itu, Ayu Putri mula serius memikirkan masa depannya. Akhirnya setelah berbincang dengan Aiman Rifki, Ayu Putri membuat keputusan berhenti kerja dan menerima tawaran bekerja di salah sebuah syarikat perancang di Skudai kerana prospek kerja yang lebih baik. Semuanya adalah persediaan untuk syarikat mereka nanti. Kata Aiman Rifki, dia akan mencari pengalaman dalam bidang pembinaan manakala Ayu Putri akan menceburi bidang perancangan dan pengendalian projek. Apabila digabungkan pasti kemahiran mereka akan lebih mantap. Pada emak dan ayah, Ayu Putri pohon restu. Walaupun keberatan meninggalkan keluarga di Terengganu, namun Ayu Putri harus cekalkan hati untuk masa depan.

“Aiman Rifki, jalan panjang yang melontarkan aku ke sini adalah kehendakNya. Demi cintaku padamu dan demi impian bersama, telahku korbankan segalanya. Kupohon agar kau mengerti Aiman Rifki”.



Wednesday, April 1, 2009

SEBENING KASIH..chapter 5

“Hadirmu tanpa dipinta”

Azan maghrib berkumandang sebaik sahaja Ayu Putri tiba di rumahnya. Baru dua hari dia diterima kerja sebagai Pegawai Pembangunan Tanah di sebuah syarikat jurukur di Bandar Kuala Terengganu. Tugasnya menyedia pelan-pelan kadaster, pelan kejuruteraan dan menyelia pentadbiran pejabat. Satu pengalaman baru baginya, berbeza dengan pembelajarannya di universiti. Walaupun gajinya tak seberapa, tidak setaraf dengan kelulusan yang diperolehi namun Ayu Putri tidak kesah kerana baginya pengalaman lebih berharga.

Bertugas sebagai Pegawai Pembangunan Tanah di syarikat jurukur yang mana bidang kerjanya lebih kepada on-site survey dan engineering method memerlukan dia bergaul dengan pekerja-pekerja lelaki seramai lebih 30 orang di bawah seliaannya.

Sebaik sahaja Ayu Putri menyarungkan telekung, Nokia Butterflynya berbunyi menandakan ada mesej masuk. Ayu Putri memandang sekilas pada telefon di atas meja.

“Siapalah yang rajin menghantar mesej maghrib-maghrib begini. Tak pernah pulak terima mesej waktu-waktu macam ni,” gumam Ayu Putri perlahan.

Setahunya, kawan-kawan rapatnya sedia faham yang dia tidak suka menerima mesej atau panggilan di waktu-waktu begitu. Ayu Putri meneka-neka siapa yang menghantar mesej. Dia ingin membiarkan sahaja. Dia membuat keputusan selepas solat baru dia akan membuka mesej tersebut. Tiba-tiba terdetik di hatinya, mungkin penghantarnya dalam kecemasan dan memerlukan pertolongan Ayu Putri.

Nokia Butterfly dicapai. Tangannya menekan-nekan kekunci telefon. Tertera nama Aiman Rifki. Hairan dia dengan mesej tersebut. Tidak pernah jejaka itu menghubunginya selama hampir lima tahun belajar sekelas. Mesej tersebut dibuka, Aiman Rifki memberitahu dia telah mula bekerja sebagai Project Manager di sebuah syarikat di negerinya. Sebagai kawan, Ayu Putri tumpang gembira dan mengucapkan tahniah. Doanya agar Aiman Rifki akan terus berjaya dan cita-citanya tercapai.

Siapa sangka, mesej yang pertama itu, adalah permulaan untuk hubungan yang seterusnya. Mesej seminggu sekali menjadi semakin kerap. Pada mulanya hanya bertanya khabar. Semakin hari, Ayu Putri dan Aiman Rifki semakin rapat. Ada sahaja cerita yang dikongsi. Mereka saling bertukar cerita dan masalah. Aiman Rifkilah tempat Ayu Putri berkongsi suka duka. Dan Ayu Putrilah tempat Aiman Rifki mengadu masalah. Aiman Rifkilah lelaki pertama yang rapat dengan Ayu Putri di sepanjang kehidupan Ayu Putri selama 23 tahun. Layanan Aiman Rifki semakin hari ada kelainannya. Panggilan Ayu telah bertukar menjadi panggilan yang lebih manja. Mungkin kedengaran agak lawak namun itulah yang menguntumkan senyuman dan membuai hati Ayu Putri. Inikah yang dinamakan cinta?

Setiap malam pasti ada sahaja mesej yang mengunjungi peti masuk telefon bimbit Ayu Putri. Tiba-tiba telefon bimbit Ayu Putri berbunyi menandakan ada mesej masuk. Ayu Putri tersenyum riang. Tentu mesej dari Aiman Rifki. Namun, apabila mesej dibuka, tertera nombor yang tidak dikenali di peti masuk telefon bimbitnya. Hilang senyumnya. Mesej tersebut dibuka lambat-lambat.

“Hi, busyuk kte dah makan? Apa khabar hari ni?” mesej tersebut dibaca. Muka yang masam tadi bertukar ceria. Rupa-rupanya mesej dari Aiman Rifki. Tentu Aiman Rifki telah menukar nombor telefon.


“Ye, en. Aiman. Saya dah makan. Awak makan apa hari ni? Emm..kenapa guna nombor lain ye.” Mesej Aiman Rifki dibalas pantas. Bimbang Aiman Rifki akan merajuk jika mesejnya lewat dibalas. Sudah faham benar dia dengan perangai Aiman Rifki. Pernah dia lewat membalas mesej Aiman Rifki kerana tertidur. Jenuh dia memujuk Aiman Rifki yang merajuk kerana mesejnya lambat dibalas.

“Hari ni mummy kte masakkan sambal udang. Sedap sangat. Nanti busyuk kte boleh masakkan untuk kte kan. Emm..ni nombor baru kte, khas untuk busyuk kte” mesej Aiman Rifki lagi.

Ayu Putri tersenyum membaca mesej Aiman Rifki. Benarkah apa yang Aiman Rifki maksudkan? Hatinya berbunga riang walaupun mereka hanya berhubung pada waktu malam sahaja. Ayu Putri merasakan hubungan dia dengan Aiman Rifki ada kelainannya. Seandainya Aiman Rifki dicipta untuknya, dia terima ketentuan itu dengan redha.

_______ *****_______

Pertama kali berjumpa selepas sekian lama berhubung melalui telefon menggentarkan hati Ayu Putri. Lidahnya kelu apabila Aiman Rifki tiba di meja mereka berkumpul. Malam itu, Ayu Putri memakai skirt labuh hitam dipadankan dengan blaus hitam bermanik. Dia kelihatan anggun. Sesekali Aiman Rifki menjeling Ayu Putri. Ayu Putri cuba mengawal diri. Sejuk tangannya. Ayu Putri yang sememangnya pemalu, diam membisu. Mujurlah kawan-kawan mereka yang sedang rancak berbual tidak menyedari tingkah Ayu Putri dan Aiman Rifki. Seronok mereka bercerita pengalaman masing-masing yang mula bekerja.

Majlis Konvokesyen inilah peluang untuk mereka berkumpul setelah semuanya membawa haluan masing-masing selepas habis belajar. Terasa hilang penat setelah lebih empat tahun bergelumang dengan buku-buku, kerja kursus, pelan-pelan, design, drawing dan segala macam masalah di universiti apabila dapat menggengam segulung ijazah. Gembira melihat wajah emak dan ayah tersenyum bangga anaknya melangkah ke atas pentas menerima ijazah.

“Busyuk kte, kte balik dulu ye. Tak seronoklah tak dapat tangkap gambar dengan awak. Awak pergi mana? awak menyorok dari kte ye. Kte pasti merindui awak.” Mesej dari Aiman Rifki lewat petang itu mengunjungi peti masuk telefon bimbit Ayu Putri.

Muka Ayu Putri merona merah. Mesej Aiman Rifki dibals, “Saya tak ke mana-mana. Ada je kat situ. Awak je yang tak nampak saya. Ok, jaga diri ye.” Kata-kata rindu lelaki itu tidak dibalas. Walau memang dia teringin mengatakan betapa dia merindui lelaki itu. Biarlah dia simpan kemas-kemas dalam hatinya. Suatu hari nanti bila tiba masa dan ketikanya, akan dia ucapkan juga pada lelaki itu.

_________________*****_________________

Berita yang diterima dari Syahirah, teman baiknya di universiti dulu sungguh mengejutkannya. Dalam debaran dan rasa hati yang tak menentu pesanan dari laman Friendster itu dibaca perlahan.

Cik Putriku sayang,
Saya menyayangi awak seperti saya menyayangi diri sendiri. Apa yang saya tahu, Aiman dah ada teman istimewa. Teman wanita dia masih belajar di salah sebuah universiti di utara. Saya harap awak tak marah dengan apa yang saya cakap. Mungkin awak perlu berhati-hati tapi tak salah kalau awak memberi dia peluang. Mungkin dia betul-betul serius. Apa-apa pun janganlah terlalu mengharap. Dan walau apa pun terjadi, I always be beside you. Salam sayang..

Your Princess

Ayu Putri terkedu. Rasa bersalah pada seorang perempuan menyelebungi diri Ayu Putri. Nafasnya dihela perlahan. Sesak dadanya. Matanya mula terasa panas. Air matanya menitis. Hati Ayu Putri yang lembut terasa pilu. Wajarkah dia melayan seorang lelaki yang bukan haknya? Bukan salah Aiman Rifki tapi salahnya. Salahnya kerana menyimpan harap. Salahnya kerana melayan lelaki itu lebih-lebih. Salahnya kerana memberi tindak balas dan membuka ruang untuk Aiman Rifki melakukan kesilapan.

Hubungan cinta adalah pertunangan antara dua hati. Secara logiknya sudah pasti telah ada perjanjian antara hati mereka. Tergamakkah Ayu Putri menjadi penghalang perjanjian dua hati? Kesian perempuan itu, pasti hatinya terluka.

Malam itu, mesej Aiman Rifki tidak dibalas. Dia lebih senang berdialog dengan Tuhannya. Biarlah Aiman Rifki merajuk. Dia tidak selayaknya melayan rajuk Aiman Rifki. Biarlah Aiman Rifki mengatanya macam-macam. Dia lebih rela dari melukai hati perempuan lain kerana dia juga seorang perempuan.

“Aiman Rifki, maafkan Ayu. Tidak terniat untuk melukai. Tetapi Ayu tak biasa begini, Aiman. Ayu tak biasa ada teman rapat lelaki. Ayu hanya ada kawan rapat perempuan. Ayu takut akan wujud penyakit hati antara kita. Maafkan Ayu, Aiman. Mungkin pada Aiman, Ayu kolot tapi itulah Ayu." Ayu Putri bermonolog.

Kepada Tuhan, dia mengadu. Menginsafi segala keterlanjurannya. Sudikah Tuhan menerima taubatnya? Basah sejadah dengan hamburan air mata Ayu Putri di pertiga malam itu. Sayu hatinya mengalunkan bacaan Yassin. Doanya panjang.

“Tuhanku, sudikah kau terima taubat hambaMu yang hina ini. Ya Allah, ampunilah hambaMu ini. Tiada daya upaya melainkan ketentuanMu. PadaMu aku berserah, Ya Allah. Seandainya dia untuk ku, aku rela menjadi miliknya. Tapi seandainya dia bukan untuk ku, redhalah aku dengan ketentuanMu. Ya Allah, ampunilah hambaMu yang lemah ini. Tidak terniat untuk ku melukai hati insan lain.”

“Aiman Rifki, hadirmu tak kupinta, kejutkanlah ku dari mimpi ini.”

Saturday, March 28, 2009

SEBENING KASIH..chapter 4

“Persahabatan ini selamanya bermakna”

Tangga di Perpustakaan Sultanah Zanariah, dituruni satu persatu. Sebelum keluar dari perpustakaan tadi, Ayu Putri bertembung dengan jejaka Sarawak kelasnya. Dari jauh jejaka itu mengukir senyuman. Senyuman jejaka itu dibalas, pantas kakinya melangkah ke arah jejaka tersebut.

“Alik, awak apa khabar? Lama ye awak ke Sarawak.” sapa Ayu Putri.
Alik tersenyum mesra. “Aku baik sahaja. Kamu bagaimana?” ucap Alik dalam lograt negerinya.
“Macam yang awak nampak. Emm..ada ole-ole untuk saya? Ika awak bagi, saya tak bagi pun. Pilih kasih, ye.” Ayu Putri menarik muka masam. Pura-pura merajuk. Dia memang suka mengusik Alik. Alik adalah antara pelajar lelaki kelasnya yang selalu bercakap dengannya selain Azam.

“Bukan..bukan begitu. Bukan aku tidak mahu bagi pada kamu. Ni aku dah simpankan untuk kamu. Aku cuma tidak mahu kawan-kawan kita fikir yang bukan-bukan tentang kita” balas Alik perlahan sambil menghulurkan keychain bertulis perkataan Sarawak kepada Ayu Putri.

Ayu Putri menerima pemberian itu dengan wajah gembira. Muka Alik dipandang. Ayu Putri mengajak Alik berbual-bual di ruang legar perpustakaan. Ada sesuatu ingin dia tanyakan pada Alik.

Sebaik sahaja melabuhkan punggung di kerusi kuning di ruang legar perpustakaan itu, Ayu Putri membuka mulut.
“Alik, kalau saya tanya sesuatu awak jangan marah ye,” Ayu Putri memulakan bicara. Wajah Alik dipandang tenang.

“Emm..tanyalah”, Alik menjawab perlahan.
“Emm..kenapa sejak akhir-akhir ini Alik macam tak nak berbual lagi dengan saya? Saya ada buat salah pada Alik ke?” Ayu Putri bertanyakan soalan yang selalu bermain di fikirannya. Dulunya mereka selalu berbual-bual di studio. Alik selalu bertanyanya tentang Islam. Cukup seronok dia bercerita tentang indahnya Islam pada jejaka yang berfahaman “free thinker” itu. Setiap lepas solat, dia berdoa agar Alik memilih Islam sebagai pegangannya. Namun sejak akhir-akhir ini, Alik seolah-oleh menjauhkan diri daripadanya.

Alik kelihatan gelisah. Matanya melilau ke kiri dan ke kanan. “Ayu, kamu tak buat salah apa-apa pada aku. Aku cuma rimas dengan kawan-kawan kita. Setiap kali ada orang nampak kita berbual-bual di studio, apabila aku pulang ke kolej, bilik aku akan dikerumuni. Semua orang berlari-lari ke bilik aku bertanya apa yang aku bualkan dengan kamu. Aku jadi rimas, Ayu.” Ucap Alik perlahan. Mukanya muram.

Ayu Putri tertunduk pilu. Terdetik di hatinya kenapa ada manusia yang tidak senang dengan keakraban mereka. Mereka tidak mengacau orang lain. Kesian Alik, dia cuma ingin tahu tentang Islam.

“Ayu, aku tidak mahu kawan-kawan kita menyalah ertikan keakraban kita. Aku tidak mahu menyusahkan kamu. Aku suka bercerita dengan kamu. Kamu seorang yang open-minded, aku bebas bercerita apa sahaja dengan kamu. Fikirku, orang seperti kamu akan pesimis kepada orang yang “free-thinker” seperti aku. Tapi aku silap. Kamu tidak merendahkan pendapat aku. Sebenarnya terlalu banyak aku ingin tahu tentang Islam tetapi aku tidak mampu, Ayu. Aku sangat menghargai kamu sebagai kawan aku. Terima kasih, Ayu.” Sedih suara Alik berkata-kata.

Ayu hampir menitiskan air mata. “Alik, abaikan apa orang cakap ye. Saya sentiasa sudi bercerita dengan Alik. Tanyalah apa sahaja saya akan cuba menjawab,” kata Ayu dalam sebak. Bibirnya diketap kuat. Cuba menahan tangis.
“Tak apalah, Ayu. Aku tidak mahu menyusahkan kamu. Aku pergi dulu Ayu. Kalau kawan-kawan kita nampak aku bersama kamu, nanti lain pulak cerita yang timbul”. Alik bingkas. Langkahnya diatur laju menuju ke pintu masuk perpustakaan. Ayu Putri memandang sayu. Dia mengeluh perlahan. Keychain pemberian Alik direnung. Air matanya yang hampir menitis diseka.

“Alik, awak tetap kawan saya. Saya sentiasa doakan awak moga suatu hari nanti, hidayah Allah akan sampai pada awak,” gumam Ayu dalam sendu.

Tangga Perpustakaan Sultanah Zanariah dituruni perlahan. Fikirannya masih teringatkan kata-kata Alik tadi. Siapalah yang tidak puas hati dengan keakraban mereka. Entah di mana silapnya, tiba-tiba dia terasa seperti badannya menggelongsor ke bawah. Bertaburan buku-bukunya. Semua yang berada di bilik belajar 24 jam memandang ke arahnya. Ada yang memandang simpati, tidak kurang juga yang tersenyum lucu. Cepat-cepat Ayu Putri bingkas bangus. Buku-bukunya dikutip. Pantas dia melangkah pulang ke kolejnya. Tidak tahu macam mana keadaan dia semasa jatuh tadi. Terasa mukanya memerah menahan malu.

Setibanya di bilik, tudung krim yang menutup kepalanya dibuka. Fatin yang sedang menatap komputer dirapati. Tanpa dipelawa, katil bercadar hijau tua itu dihenyak. Dia merenung Fatin. Fatin yang sedang tekun menyiapkan tugasan memandangnya sekilas. Jarang Fatin melihat wajah Ayu Putri begitu. Gadis itu sentiasa ceria. Fatin memusingkan badannya mengadap Ayu Putri. Pasti ada sesuatu yang mengganggu emosi teman sebiliknya itu.

“Ayu, kenapa ni? Kenapa muka tu cemberut je. Bergaduh dengan pakwe ye,” usik Fatin. Sengaja dia mengusik Ayu Putri. Sememangnya dia telah sedia faham, Ayu Putri tidak mempunyai seseorang yang istimewa. Bagi Ayu Putri, pelajaran lebih utama.
“Mana ada. Fatin ni, orang serius dia main-main pulak,” rajuk Ayu Putri.
“Ok..ok..cerita kat Fatin. Fatin tak main-main dah. Janji,” ucap Fatin sambil mengangkat tangannya seperti berikrar.

Tiba-tiba pintu bilik mereka dikuak. Aida menjengukkan kepalanya. “Fatin, tadi kata nak pergi arked. Nak makan tengah hari. Tak bersiap lagi ke?” ucap Aida sambil melangkah ke dalam bilik. Kerusi di meja Ayu Putri ditarik. “Ayu, jom ikut kami makan kat arked,” tambah Aida. Ayu menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum nipis. Peristiwa jatuh tangga tadi mematikan seleranya.

“Kejaplah Aida. Kawan kita ni tengah ada masalah. Ok, Ayu. Ceritalah apa masalahnya,” kata Fatin sambil bangun mencapai t-shirt lengan panjang berwarna khakis yang tersangkut di dalam almari bajunya.

“Sebenarnya, saya tengah sedih ni. Sesuatu telah terjadi pada saya tadi. Saya pun tak sangka benda ni akan jadi pada saya. Malu sangat. Tak tahu nak letak kat mana muka ni. Tak nak ke PSZ lagi lepas ni,” ucap Ayu Putri perlahan.

Fatin merapati Ayu Putri. Muka Ayu direnung hairan. Tangan Ayu dipegang. “Ayu, kenapa ni? Ceritalah kat kami.”

Ayu Putri tunduk memandang lantai. “Sebenarnya, masa saya nak balik tadi. Saya terjatuh kat tangga PSZ. Dari anak tangga paling atas, tergolek sampai ke bawah. Sakit tau. Semua orang kat dalam bilik belajar 24 jam pandang saya. Siap ada yang gelak lagi. Tak tahu nak letak muka ni kat mana.” Selesai sahaja bercerita, Ayu menyembamkan mukanya ke bantal Fatin.

Fatin dan Aida tergamam. Mereka saling memandang. Serentak kedua-duanya ketawa berdekah-dekah di atas lantai bilik itu. Ayu Putri bingkas bangun. Bulat matanya memandang kedua-dua rakannya yang sedang ketawa. Tiba-tiba ketawanya turut pecah. Mereka sama-sama ketawa. Hilang rasa sedih Ayu. Ayu menanam tekad baju kurung krim berbunga kuning itu akan dihantar pulang ke kampung. Tidak mahu lagi memakai baju kurung yang dipakainya semasa terjatuh di tangga PSZ.
____________________________ ******____________________________

“Impian itu semakin hampir dalam gengaman”

Hampir lima tahun di bumi UTM, Skudai terlalu banyak kenangan Ayu Putri bersama rakan-rakannya. Di sini segalanya bermula. Dan di sini juga segalanya akan berakhir. Tidak lama lagi mereka akan mengikut haluan masing-masing.

Mereka pasti tak akan dapat lagi menikmati keenakan nasi putih dan telur dadar bersama sup kosong di Central Point apabila pinjaman atau biasiswa belum masuk. Pernah suatu hari mereka seramai lima orang menempah 5 biji telur dadar sehingga tukang masak kafe mengatakan telur telah habis kerana tidak larat memasak terlalu banyak telur dadar. Mereka sudah pasti tidak dapat lagi merasai kerangupan pisang goreng dan keenakan nasi kerabu bazaar ramadhan di perkarangan tempat letak kereta B11. Balai Cerap sudah pasti tidak lagi dikunjungi dan didaki. Monyet-monyet di sepanjang jalan ke Balai Cerap tidak akan lari berkeliaran lagi apabila ditakutkan oleh mereka. Yang pasti Blok B11, Fakulti Alam Bina tidak akan riuh lagi dengan gurau senda dan nyanyian sumbang mereka. Tempat letak kereta B11 itu juga tidak akan dapat menyaksikan gadis lincah itu bermain kejar-kejar di waktu malam.

Hari terkahir di bumi UTM itu, tidak banyak yang diperkatakan. Semua sibuk menyiapkan kertas projek untuk dinilai. Tiada ucapan selamat tinggal. Masing-masing tergesa-gesa ingin pulang. Ada yang telah mendapat kerja dan perlu bertugas secepat mungin. Syukur, begitu murah mereka.

“UTM, bumi barakahmu kami tinggalkan. Moga makin ramai cendikiawan yang kau lahirkan. Hari ini bumimu kami tinggalkan, esok kami pasti akan datang. Segulung ijazah kami bawa pulang.”




Tuesday, March 24, 2009

SEBENING KASIH..chapter 3

“Renunganmu menggegarkan jantungku”

Ayu Putri bersama ahli kumpulannya masih sibuk menndirikan khemah sejak sampai di Desaru. Barang-barang disusun kemas di dalam khemah. Setelah semuanya selesai, mereka berkumpul di tepi pantai. Petang tersebut ada pertandingan bola beracun.

Ayu terduduk kepenatan. Peluh membasahi wajahnya. Pipinya memerah kerana kepanasan. Namun hembusan angin petang pantai Desaru begitu cepat mengeringkan peluhnya. Fatin di sebelah dirapati. Kepalanya dilentukkan di bahu Fatin. Ayu Putri memang manja dengan teman sebiliknya itu.

Mentari petang mula melabuhkan tirainya. Cahaya keemasan di langit mula malap. Cepat-cepat dia bingkas bangun memandangkan waktu maghrib akan masuk tidak lama lagi. Kata orang tua-tua, waktu maghrib banyak syaitan berkeliaran terutamanya di tepi pantai.
“Fatin, jom kita mandi. Dah dekat maghrib ni. Nanti ramai pulak orang dalam bilik air,” ucap Ayu Putri sambil mengibas-ngibas pasir di seluar sukannya. Fatin bingkas dari duduknya. Mereka beriringan ke khemah.

Malam itu, selepas makan malam mereka berkumpul untuk sesi perkenalkan diri. Tempoh seminggu masih belum cukup untuk mereka mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat. Seorang demi seorang memperkenalkan diri. Kini tiba giliran jejaka tinggi lampai itu pula memperkenalkan dirinya. Semua mata tertumpu padanya. Beberapa pelajar perempuan berbisik-bisik. Agaknya mereka tertarik dengan perwatakan jejaka tersebut, fikir Ayu Putri. Pada Ayu Putri tak ada yang menariknya tentang jejaka itu.

“Nama saya Aiman Rifki. Boleh panggil saya Aiman atau Rifki. Nama manja Am, “ ucap jejaka itu sambil tersengih. Meluat Ayu Putri melihat sengihan jejaka itu. Berebut-berubat pelajar perempuan kelasnya ingin bertanya soalan. Ayu Putri hanya tunduk membisu.

Selesai sesi suai kenal, mereka dibenarkan untuk membuat aktiviti bebas. Kebanyakannya ingin berkaraoke. Ayu Putri memilih untuk tidur sahaja. Semalaman dia tidak tidur menyiapkan tugasan studio tentang konsep bandar. Badannya terasa amat letih dan matanya semakin berat. Dia melangkah pantas ke khemah.


“Ayu! Tunggulah dulu. Tak kan dah nak tidur. Jomlah ikut kami karaoke,” jerit Ain. Ayu Putri menoleh. “Tak apalah Ain, saya penat. saya balik khemah dulu ye. Nak tidur,” balas Ayu Putri sambil mengukir senyuman. Fatin dan Ija turut mengikut langkah Ayu.

Sebaik masuk ke khemah, Ayu terus mencapai bantal kecilnya. Kepalanya direbahkan di atas bantal. Fatin turut baring di sebelah Ayu.

“Ayu, Aiman Rifki tu handsome kan. Dah lah handsome, tinggi, putih. Kalau dapat jadi pakwe Fatin kan best. Apa pendapat Ayu?” kata Fatin sambil tersenyum. Badannya dipusing mengadap Ayu Putri yang baring di sebelahnya apabila soalannya dibiarkan tidak berjawab. Rupa-rupanya Ayu Putri telah terlelap. Dalam kesamaran cahaya dari pentas karaoke, wajah Ayu Putri direnung. Wajah temannya itu nampak tenang dan manis.

Pagi sabtu itu, Ayu bangun awal. Fatin di sebelah dibiarkan tidur. Selepas dia mandi nanti dia akan kejutkan Fatin. Tuala dicapai. Dengan malas dia melangkah ke bilik air. Bayu pagi di tepian pantai bertiup lembut. Sejuknya hingga ke tulang sum-sum. Seusai solat Subuh, Ayu Putri mengejutkan Fatin.

“Fatin, bangunlah. Dah pagi ni. Dah ramai yang bangun. Nanti penuh pulak bilik air tu. Pagi ni kita ada riadah di tepi pantai,” ucap Ayu Putri sambil menggoyang-goyang bahu Fatin dengan lembut. Fatin menggeliat malas.

Sedang mereka bersiap-siap, tiba-tiba Anis bersuara. “Kawan-kawan, malam tadi berapa orang ye tidur dalam khemah kita?.” Semua yang berada di dalam khemah terdiam dan saling memandang.
“Kalau tak silap Ija, malam tadi kita tidur bertiga. Ija, Ayu dan Fatin. Anis masuk kemudian kan. Emm..maksudnya kita tidur berempatlah,” balas Ija.
“Kenapa Anis?” tanya Fatin cemas.
“Sebenarnya, malam tadi selepas duduk di tepi pantai dengan Azam, Anis balik ke khemah. Anis terus tidur. Tiba-tiba Anis terjaga, Anis kira kepala, ada lima kepala termasuk Anis. Maksudnya, ada makhluk lain tumpang tidur dalam khemah kita malam tadi.” Jawab Anis dengan muka cuak.

Masing-masing terdiam. Soal makhluk menumpang tidur di khemah mereka berakhir sebaik sahaja ketua riadah, Ashraf meniupkan wisel. Semua pelajar bergegas ke tepi pantai. Aktiviti riadah pagi itu bermula dengan pemanasan sebelum berjogging di sepanjang pantai Desaru. Pasir pantai yang lembut membuatkan kaki berat untuk melangkah. Sekejap sahaja masing-masing telah bermandi peluh dan kepenatan.

Petang itu, ramai yang memilih untuk berlatih persembahan. Bagi kumpulan Ayu, mereka telah membuat keputusan untuk berlakon secara spontan. Jadi, mereka tidak perlu berlatih. Untuk mengisi masa terluang di waktu petang begitu, Ayu mengajak Fatin bermain bola. Sudah lama bola jaring itu tidak disentuh. Rindunya semakin sarat.

Seronok dia membaling-baling bola. Rindunya terubat. Sedang dia leka bermain, terasa seperti dirinya diperhatikan. Kalut dia megawal diri. Bola yang dibaling Fatin gagal disambut. Semasa dia memungut bola yang terlepas, mata terpandang ke arah kawasan perkhemahan mereka. Jejaka itu berdiri tegak memandangnya. Mata mereka bertentangan. Lama Ayu terpaku. Terasa ada getaran di dadanya.

“Ayu, cepatlah. Baling bola tu. Macam mana netballer kolej tak boleh tangkap bola, buat malu je,” jerit Fatin.
Jeritan Fatin mengejutkan Ayu, mukanya merona merah. Malu dengan keterlanjuran diri. Cepat-cepat dia beristifar.

“Emm..Fatin, saya dah penatlah. Kita main lain kali ye. Jom kita duduk-duduk je tepi pantai ni,” balas Ayu mencipta alasan. Jantungnya masih berdegup kencang. Sungguh dia tak mengerti dengan apa yang dia rasa sekarang.

“Aiman Rifki, renunganmu menggetarkan jantungku,” gumam Ayu Putri perlahan. Nafasnya ditarik dalam. Tak mungkin, ada rasa yang bermukim. Tak mungkin ada hati yang terpaut.

SEBENING KASIH..chapter 2

“Kalian pelengkap hidupku”

Ketukan di pintu dibiarkan saja. Ayu tersenyum memandang Fatin yang tidur lena. Sengaja dibiarkan tetamu itu mengetuk pintu, malas dia ingin bangun membuka pintu. Tetamu itu bukan tidak biasa ke biliknya. Perkenalan yang singkat itu telah menitipkan bibit-bibit mesra antara dia dengan rakan-rakan perempuan sekuliahnya.

Selepas ketukan yang ketiga, barulah Ayu Putri bangun membuka pintu. Mukanya sengaja dimasamkan.

“Assalamualaikum, Cik Ayu. Dah naik kematu tangan ni ketuk pintu, baru nak buka. Mana Fatin? Tidurlah tu minah tu,” ucap Ija sambil melangkah masuk ke dalam bilik yang dihuni oleh Ayu dan Fatin.
“Ala, Ja. Macam tak biasa. Hari ni kenapa sopan? Selalu, main redah je kan,” ucap Ayu sambil tertawa.
“Duduklah.” Ayu mempelawa.

Ija menarik kerusi yang terletak di meja komputer lalu duduk. Tangannya membelek-belek helaian kertas yang berselerakan di atas meja. Matanya memandang Ayu Putri yang terbaring kepenatan di katil bercadar merah jambu. Baru sahaja mempelawa dia duduk, dia sudah tertidur. Mungkin Ayu terlalu mengantuk setelah semalaman tidak tidur menyiapkan tugasan studio. Tangan Ayu Putri dikuis. Ayu Putri yang tengah mamai itu menepis lembut.

“Ayu, bangunlah. Ada sesuatu yang Ija nak tanya kat Ayu ni. Bangunlah Ayu.” Ija mengoyang-goyang tubuh kecil Ayu.
“Ija, saya ngantuklah. Boleh Ija bagi saya lima minit? Lima minit je, ok. Nanti Ija tanya ye,” balas Ayu Putri perlahan.

“Baiklah, kalau Ayu tak nak bangun tak apalah. Cuma satu je Ija nak tanya Ayu. Barang dah kemas belum? Puan Noraini cakap, pukul 3.00 kita mesti berkumpul kat tempat letak kereta Central Point,” ucap Ija sambil menarik tangan Ayu.
Sebaik sahaja terdengar nama Puan Noraini, pantas Ayu dan Fatin bingkas bangun. Nama itu seolah-olah mempunyai kuasa yang boleh membangunkan mereka, menyegarkan mata yang kantuk. Tergelak Ija melihat muka kedua-dua rakannya yang terkejut.

“Ija, kenapa tak cakap awal-awal?” jerit Ayu Putri dan Fatin serentak.
“Manalah Ija tahu, ingatkan kamu berdua dah bersiap. Nasib baik Ija datang. Kalau tak kamu mesti dapat nama baru,” balas Ija. Ketawanya semakin kuat.

“Fatin, jom bersiap. Nanti tak pasal-pasal kita dapat nama Minah Satu dan Minah Dua,” ucap Ayu Putri. Tangannya pantas mencapai beg pakaian. Pakaian yang bersangkut di dalam almari dicapai satu persatu.

Fatin turut bingkas dari katilnya. Tangannya mencapai bantal kecil lalu dibaling geram ke arah Ija yang masih ketawa. Ija cuba mengelak dan pintu bilik ditutup. Dia berlalu ke biliknya dengan ketawa yang masih bersisa.

Tergesa-gesa Ayu Putri dan Fatin mengemas barang untuk perkhemahan di Desaru. Jam menunjukkan pukul 2.15 petang. Bermakna mereka masih ada 45 minit lagi untuk berkumpul di Central Point. Mereka perlu bertolak sekarang memandangkan Kolej Tun Razak terletak agak jauh dari Central Point walaupun kedudukannya masih dalam lingkaran dalam. Tambahan pula mereka terpaksa membawa beg pakaian yang berat. Entah berapa kilo beratnya.

Setelah bersiap-siap, Ayu Putri dan Fara berjalan beriringan ke Central Point. Sambil berjalan mereka berbual mesra. Sesekali Ayu Putri ketawa kecil.

SEBENING KASIH..chapter 1


"perjalanan panjang yang melontarkan aku ke sini adalah kehendakNya.."

Tilam tanpa cadar itu dihenyak. Penat dia mengangkat barang-barang dari van tadi. Mujur Kak Long dan Kak Ngah membantu. Keluarganya baru sahaja bertolak pulang ke kampung, sebaik sahaja sesi pendaftaran kolej selesai. Ini bukan kali pertama dia berjauhan dengan keluarga. Seawal usia 13 tahun, dia telah tinggal di asrama kerana mendapat tawaran belajar di salah sebuah sekolah berasrama penuh aliran agama di Kajang. Namun hatinya tetap sayu. Mengenangkan emak yang masih sakit.

Tiba-tiba pintu biliknya dikuak. Spontan dia bangun. Gadis di hadapannya disalami. Bibirnya mengukir senyuman. Dia memperkenalkan diri.

"Ayu Putri, boleh panggil Ayu. Nak panggil Putri pun boleh atau apa-apa saja."

Teman sebiliknya turut mengukir senyuman, "Nur Fatin, panggil Fatin je." Wajah Ayu Putri direnung. Terdetik di hati Fatin, perwatakan Ayu Putri seayu namanya.

Minggu Haluan Siswa selama seminggu sungguh memenatkan tapi cukup menyeronokkan Ayu Putri. Sudah lama dia tidak menyentuh bola, perlawanan bola jaring antara kolej telah mengubat rindunya pada dunia sukan. Kesungguhan pasukan Kolej Tun Razak berlatih telah melayakkan mereka menjadi juara.

Teringat waktu dia di Tingkatan Lima semasa mengambil SPM. Setiap petang pasti dia turun ke padang walau bersendirian bermain bola jaring. Disebabkan terlalu minat dengan bola jaring, dia pernah didenda oleh Guru Geografinya menulis 1000 patah perkataan "Saya tidak akan gagal lagi dan akan belajar bersungguh-sungguh" kerana gagal dalam subjek geografi, semata-mata terlalu menumpu perhatian kepada perlawanan bola jaring antara zon. Naik kematu jarinya menyiapkan 1000 perkataan dalam masa sehari. Mengimbau kenangan itu, Ayu Putri tersenyum sendiri. Apa khabar agaknya Cikgu Masita, guru yang baik tapi tegas.

Disebabkan denda tersebut, dia bertekad belajar bersungguh-sungguh tapi tidak bermakna melupakan sukan yang sangat diminatinya itu. Akhirnya di bumi UTM ini dia tercampak untuk meneruskan impian dan cita-citanya.

_______________________ ******** ________________________


“Di sini bermulanya sebuah impian..tercetusnya sebuah cita-cita”


Bilik hujung di tingkat lima blok B02 dituju. Mengah dia memanjat tangga bangunan setinggi lima tingkat itu. Di situlah terletaknya bilik yang dipanggil studio. Apa yang terbayang di fikirannya, sebuah bilik yang lengkap seperti studio rakaman. Setibanya di bilik tersebut, sangkaannya meleset sama sekali. Bilik besar itu menempatkan beberapa meja yang besar dan kerusi berwarna biru. Seorang demi seorang pelajar kelasnya tiba. Separuh daripada mereka adalah berbangsa Cina.

Ayu Putri menarik nafas panjang sebaik sahaja Dekan Fakulti Alam Bina selesai menyampaikan taklimat ringkas tentang kursus Integrasi Perancangan Bandar dan Wilayah. Termanggu-manggu dia, bimbang memikirkan mampukah dia menghadapi pembelajaran yang agak berat. Kursus ini berbeza dengan kursus lain kerana adanya subjek studio yang mana memperuntukkan 5 kredit. Tambahan pula, dia perlu bergaul dengan pelajar lelaki dan berlainan bangsa. Risau dia memikirkannya. Belajar di sekolah aliran agama membuatkan dia tidak biasa dengan keadaan tersebut. Namun dia perlu biasakan diri demi cita-citanya. Ayu Putri mengeluh.

“Kenapa mengeluh ni?” soal rakan di sebelahnya. Jejaka cina yang baru dikenalinya tadi direnung sambil mengukir senyuman. Pantas kepalanya digeleng.

“Senyum pulak. Ni mesti teringat pakwe kat kampung.” Edward yang sejak tadi memerhati gerak-geri gadis bertudung putih itu mengusik.

“Huh! Pakwe? Muka macam saya ni, manalah ada pakwe, Edward. Sebenarnya saya risau dengan subjek studio ni. Saya bukannya pandai sangat melukis. Tengoklah kerja-kerja yang senior kita hasilkan. Mampu ke saya buat? Pensyarah-pensyarahnya pula, macam garang je kan. Takut saya,” ucap Ayu Putri penuh emosi.

“Ayu, belum cuba belum tahu. Senior-senior kita tu pun sebelum ni macam kita juga. Tak tahu apa-apa. Bila diajar dan mencuba, mereka boleh buat. Percayalah kita boleh buat,” balas Fatin di sebelahnya.

Ayu Putri terdiam. Kata-kata itu ada kebenarannya. Belum cuba belum tahu. Teringat dia dengan satu kata dari novel yang pernah dibacanya, “Don’t say no before you try.” Kalau senior-seniornya mampu lakukan kenapa tidak dia.

“Okeylah Edward, kami pergi dulu. Lain kali kita sambung lagi. Kami nak ke perpustakaan,” ucap Ayu seraya mencuit Fatin dan terus berlalu ke pintu. Langkahnya panjang-panjang.

“Ayu, jangan laju sangat nanti terjatuh. Kirim salam kat pakwe awak!” laung Edward setelah Ayu agak jauh berlalu.
Tanpa berkata apa-apa, pantas Fatin mengatur langkah. Sesekali dia berlari-lari anak cuba menyaingi langkah Ayu yang semakin laju.

“Kenapa ni, Ayu, kenapa tergesa-gesa? Buat apa ke perpustakaan? Kita tak dapat lagi tugasan. Perpustakaan tu sejuklah. Kita balik bilik ye, lagi pun Fara mengantuklah” Fatin berkata perlahan.

Ayu memperlahankan langkahnya. Matanya melilau ke kiri dan ke kanan. Fatin ditarik rapat ke badannya. “Maaf, Fatin. Kalau saya cakap ni, Fatin jangan gelak ye. Sebenarnya saya tak sukalah bila orang lelaki pandang semacam kat saya. Saya rimas, tak biasa. Sebab tulah saya nak keluar dari studio cepat-cepat.”

Terlopong mulut Fatin memandang Ayu Putri. Spontan tawanya meletus. Ayu terdiam dan terus berlalu. Pipinya memerah. Malu dia diketawakan begitu. Seolah-olah dirinya yang perasan.

Fatin mengejar Ayu. Ketawanya masih bersisa. Faham benar dia dengan perangai Ayu. Manja dan mudah merajuk tapi rajuknya tidak lama.

“Siapa lelaki yang pandang Ayu tadi? Ceritalah kat Fatin, nanti Fatin cungkil biji mata dia. Kalau Fatin cungkil biji mata dia, dia dah tak boleh pandang Ayu kan.” Pujuk Fatin.

Ayu menggeleng-geleng kepalanya. Mukanya masih serius. “Tak apalah, Fatin. Kesian dia, buta pulak dia nanti kalau Fatin cungkil biji mata dia. Sayanglah muka kacak tapi buta,” ucap Ayu sambil tersengih dan berlalu pergi. Terpinga-pinga Fatin.